Sunday, January 27, 2008

Terbukti Umno-BN Gusar 'Faktor Anwar' Dalam PRU12!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) begitu yakin dan percaya bahawa Umno-BN kini berada dalam keadaan yang begitu terdesak.
Kenyataan balas Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien sebagai respon kepada hasrat Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil di kerusi Parlimen yang dikosongkan KeADILan selepas pilihan raya umum akan datang membuktikan bahawa Anwar kekal menjadi faktor major dalam landskap politik negara.
Tidak timbul isu riak,takbur dan angkuh. Perkara ini pernah berlaku di Turki apabila Parti Keadilan & Pembangunan (AKP) memenangi pilihanraya umum Turki pada awal tahun 2000, di mana pada ketika itu Recce Tayyip Erdogan yang masih disekat hak berpolitik tatkala AKP menang, bertanding dalam pilihanraya kecil sebuah kawasan Parlimen di Turki lantas menjawat jawatan Perdana Menteri yang dikosongkan Abdullah Gul.
Lebih memalukan, hari ini melalui Utusan Malaysia SPR dilaporkan berkata bahawa Anwar layak untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.
Hasrat Anwar untuk bertanding adalah jelas membuktikan ltizam beliau untuk merealisasikan matlamat beliau untuk terus menyumbang dan memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen secara langsung dan efektif. Sokongan yang diperoleh KeADILan dan Anwar semakin terpancar di setiap pelusuk tanah air, dan ini pastinya menggusarkan Umno-BN.
AMK melihat, sekiranya benar Umno-BN benar-benar bersikap 'jantan' dan yakin KeADILan dan Anwar tidak akan menang sebuah kerusi pun, maka AMK mencabar Umno-BN untuk melangsungkan pilihanraya selepas 14 April 2008 agar Anwar boleh terus bertanding secara sah dalam pilihanraya umum ke-12 akan datang.
AMK juga berminat untuk menasihatkan Hishamuddin agar memastikan kedudukan beliau di Parlimen Semberong berada dalam keadaan stabil dahulu, sebelum memberi komen kepada mana-mana pihak lain khususnya pembangkang.
AMK melalui pakatan pembangkang akan memastikan Parlimen Semberong digempur habis-habisan agar Hishamuddin boleh terus berpijak di bumi yang nyata, bahawa Umno-BN sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat yang celik mata dan minda.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
KETUA ANGKATAN MUDA
PARTI KEADILAN RAKYAT

No comments: