Sunday, January 27, 2008

Seorang lagi mangsa kemalangan bas dua tingkat meninggal dunia

IPOH: Seorang lagi penumpang meninggal dunia selepas bas ekspres dua tingkat yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 383.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang semalam.

Pang Poon Eng, 20, yang berasal dari Batu Caves, Selangor meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ipoh di sini awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Mohd Zailani Mustafa, 23, berasal dari Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Lee Nian Ning, 21, dari Taman Brown, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Tujuh lagi cedera parah apabila bas ekspres dua tingkat, Ekspres Konsortium yang membawa 37 penumpang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, terbabas lalu terbalik selepas melanggar pembahagi jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Honda Oddyssey.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim DSP Adzhar Othman ketika dihubungi enggan mengulas mengenai dakwaan saksi bahawa pemandu bas terbabit, Ruslin Isa, 42, dikatakan sedang menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMs) telefon bimbit dan memandu laju dalam hujan renyai sebelum kemalangan.
"Polis masih menyiasat punca kemalangan dan kita akan maklumkan selepas semua aspek siasatan diambil kira," katanya. BERNAMA

No comments: