Thursday, August 30, 2007

Ahli PAS dinasihat jangan terperangkap provokasi perkauman

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menasihatkan rakyat khususnya ahli PAS supaya tidak mudah terperangkap dengan provokasi perkauman.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily bagi menjelaskan dakwaan menyatakan terdapatnya unsur-unsur perkauman berlaku di Masai.

Menurutnya,pihak polis perlu bertindak segera menyiasat dakwaan yang banyak disebarkan melalui SMS itu dan jika benar maka pihak polis perlu bertindak ke atas pihak tertentu yang dikatakan menjadi punca kepada isu tersebut.

"Jangan hanya kata ada pihak tertentu yang berbuat demikian tetapi siapa pihak itu yang bertindak sedemikian perlu diambil tindakan.Kita tidak mahu ada pihak yang 'baling batu sembunyi tangan',"katanya.

Beliau mengimbau kejadian pada tahun 1987 yang mana kerana provokasi antara Umno dan MCA ketika itu akhirnya pihak lain yang dituduh menjadi punca.

Mahfuz melahirkan kebimbangan jika dakwaan isu perkauman itu hanyalah rekaan pihak tertentu yang mahu menjadi jaguh dengan sengaja untuk diperlihatkan sebagai penyelesai kepada masalah itu.
Dari kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengenai isu tersebut ianya membayangkan bahawa Umno dan BN kini mula untuk menerbitkan persepsi rakyat supaya menyokong kembali Umno/BN, katanya.
Ini kerana setelah mereka melihat kemerosotan sokongan terhadap parti mereka menjelang pilihan raya umum akan datang, dan tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk mengembalikan sokongan, dakwanya.
Justeru itu beliau menggesa rakyat agar tidak terperangkap dengan isu ini dan tidak termakan dengan provokasi perkauman yang hanya akan menjadikan isu ini lebih parah.

Sebaiknya beliau mencadangkan pihak polis bertindak ke atas pihak tertentu seperti yang didakwa terbabit dengan kejadian ini, dan jika isu ini tidak berlaku, janganlah ia digembar-gemburkan semata-mata untuk tujuan politik, katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyatakan, pihaknya mendapat pelbagai pertanyaan mengenai isu yang didakwa berlaku di Masai.

Katanya pelbagai SMS dihantar mendakwa akan berlakunya huru-hara di Masai dan Pasir Gudang pada 30 Ogos ini.

"Saya telah mengarahkan kepada semua anggota Pemuda PAS di negeri Johor agar tidak mudah panik dan terpengaruh dengan SMS tersebut. Kebimbangan saya adalah ianya adalah merupakan satu episod yang sengaja direka bagi menimbulkan situasi yang tegang di antara kaum kerana kita telah banyak belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang sengaja direka untuk kepentingan politik,"katanya.

Semalam, pihak keselamatan telah pun mengadakan pertemuan tergempar dengan parti-parti politik termasuk PAS, badan bukan kerajaan dan ketua-ketua agama bagi menyampaikan hasrat agar semua pihak dapat mengawal keadaan dan menasihatkan kepada semua ahli agar mengambil sikap bertenang, katanya.

Malam ini, satu taklimat khas yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Roslan Ahmad kepada penduduk-penduduk diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Cendana, Pasir Gudang untuk menenangkan keadaan.

Sehingga kini, keadaan di Johor masih lagi terkawal, tidak seperti yang digembar-gemburkan, katanya.

PAS Johor akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak keselamatan untuk bersama menegakkan keamanan, katanya.

"Paling utama, saya mengharapkan agar semua pihak dapat bertenang dan tidak mudah menyebarkan maklumat yang diragui kesahihannya. Apa yang mampu kita lakukan ketika ini adalah dengan menghadapinya dengan ketenangan dan berserah kepadaNya agar tidak akan terjadi perkara yang tidak diingini,"ujarnya.

Sehubungan itu beliau mendesak agar isu ini tidak dibangkitkan menjadi isu perkauman. - mks.

Thursday, August 16, 2007

Ceramah Isra' Mikraj

Penceramah

Ustaz Riduan bin Mohd Nor
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat

Ustaz Abdullah bin Hussin
Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Johor

Saudara Khairul Anuar bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang

Tempat : Rumah Saudara Ahmad Zaki bin Zaidin
No. 53 Jalan Kampung Melayu, 86000 Kluang, Johor

Tarikh : 17 Ogos 2007

Masa : 9.00 malam

Semua Dijemput Hadir

Sukaneka Sempena Hari Kebangsaan Ke 50



Murid PASTI dari Taman Delima yang menyertai Sukaneka sempena sambutan ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-50 anjuran PASTI Kawasan Kluang yang dilangsungkan di Stadium Kluang pada 12 Ogos 2007

Wednesday, August 15, 2007

Kelantan terus membangun, tiada sebab tukar kerajaan

SETELAH Perdana Menteri Malaysia berpeluang meletakkan batu asas jambatan Sultan Yahya Petra kedua pada 2 Ogos 2007 lalu, saya dapat perhatikan satu saranan kuat menggesa rakyat untuk menukar kerajaan.Pengerusi Umno Negeri Kelantan sampai merayu-rayu supaya rakyat sedar bahawa kononnya kerajaan PAS yang dipimpin oleh saya di Kelantan cepat-cepat ditumbangkan kerana kononnya PAS-led state government could not afford to build the infrastructure and provide services which could lure investments. Beliau merayu dengan kata-kata, please realise this. (NST 12 Ogos 2007).
Dato’ Mustapa Mohamad pula menggesa supaya Kelantan diganti dengan pucuk pimpinan baru dan tidak lagi memilih “Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak sihat.” (Berita Harian 12 Ogos 2007).
Saya melihat begini. Orang yang waras di Kelantan tidak akan bercakap mengenai penukaran sebuah kerajaan tanpa sebarang sebab syarie. Orang yang waras akan meniru dan melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sewaktu berhubung dengan kerajaan-kerajaan di luar daripada Kerajaan Islam Madinah.
Dalam hal ini, mesej kunci yang perlu ditelaahi pemimpin-pemimpin Umno ialah firman Allah S.W.T. dalam ayat-ayat seperti berikut:
“Katakanlah: Hai ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada sesuatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah (puja) kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” - (Surah Ali’Imran: Ayat 64).
Berasaskan ayat ini, Nabi S.A.W. telah mengajak pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar dari kerajaan-kerajaan yang tidak Islam pada waktu itu supaya bersatu dan tidak berselisihan dengan cara kembali kepada satu punca kuasa sahaja yakni kuasa Allah S.W.T.
Surat baginda ini dibuka dengan perkataan “Aslim Taslam” yang bermaksud “Islamlah kamu dan anda akan selamat”. Ini bererti bahawa gesaan untuk menukar kerajaan yang sudah pun komited terhadap Islam tidak berbangkit langsung.
Sebaliknya jika ada pun peringatan kepada sebuah kerajaan Islam Kelantan maka peringatan itu hendaklah membawa maksud peringatan untuk kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Soalnya, mampukah para pemimpin Umno mengingatkan kami dengan pesanan sedemikian sedangkan merekalah yang menolak Islam dan menukar ganti Islam itu dengan faham kebangsaan? Mereka yang tolak Islam. Serentak dengan itu mereka menentang kami yang bergerak atas asas Islam.Allah telah menjadikan setiap Nabi dan Rasul Alaihissalam ini memuja Allah dan tidak bersyirik kepadaNya. Apa yang dibuat oleh kerajaan yang komited terhadap Islam di Kelantan ini adalah berpandukan apa yang dibawa oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.
Demikian kami bertekad dan demikian jualah apa yang kami sedang usahakan. Kami membina keyakinan ini di atas analogi bahawa padi dan beras yang kita makan atau getah dan sawit yang kita semai dan tuai ini semuanya adalah daripada Allah S.W.T.
Seawal dan seasalnya setiap butir benih itu adalah dari kurniaan Allah S.W.T. Padi yang kita tanam ini adalah dari tahun lalu. Dan akhirnya kita bertemulah dengan benih padi yang asasnya dibuat oleh Allah S.W.T. Demikian juga dengan manusia yang berasal dari ayah, datuk, nenek yang akhirnya datang dari benih Adam A.S.
Allahlah Yang Maha Bijaksana dan telah menjadikan sesuatu itu dari tiada (Al-‘Adam) kepada ada (Al-Wujud).
Hakikat seluruh kejadian dicipta ini, semuanya bertujuan untuk memainkan peranan Ubudiyyah dan semuanya diisyaratkan dengan jelas dalam lafaz firman Allah yang berbunyi “Wamaa Kholaqtul Jinna Wal Insaana Illaa Liya’buduun”.
Demikian juga dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua, Allah mengisytiharkan bahawa “Dia yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik aktivitinya.”
Prinsip ubudiyyah ini telah diwartakan dalam Kitab-Kitab besar yang telah diturunkan dari langit sejak zaman berzaman. Dia telah dengan kemasnya disempurnakan secara muktamad dengan Al-Quran seperti yang kita petik dari dua ayat di atas tadi.
Islam seterusnya menetapkan pembalasan di akhirat yang dilambangkan melalui kewujudan nikmat Syurga dan azab Neraka sebagai satu lagi asas keimanan.
Sewaktu Isra’ dan Mi’raj, Junjungan kita S.A.W. telah dibawa secara live untuk meninjau dua projek raksasa Allah yakni Syurga dan Neraka.
Ia sememangnya wujud. Ia sesuatu yang “real” dan tidak ada pertikaian dalam kesedaran hidup setiap orang beriman. Saya sesungguhnya tidak nampak apa lagilah cara terbaik yang ada, yang boleh menarik saudara-saudara saya dari Umno untuk kembali kepada titik persamaan dan kesedaran perpaduan berpaksikan kalamullah yang sepenting ini.
Jika pemimpin Umno boleh faham tentang premis fikiran orang-orang yang beriman sudah tentu tidak timbul soal menggesa rakyat untuk menukar kerajaan yang meletakkan Islam sebagai dasar hidup dan fikrah perjuangannya.
Soal peruntukan yang banyak daripada Kerajaan Persekutuan juga tidak timbul kerana tidakkah negara ini adalah berkonsepkan sistem pemerintahan federalisme? Dalam perlembagaan Persekutuan, ada senarai Persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama.
Kami akui bahawa ada projek jalan raya, lebuh raya, hospital, klinik, sekolah, jambatan yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan. Jadi apa salahnya?
Jika Kelantan terus diperintah oleh PAS, apa masalah? Projek dalam jumlah berbilion-bilion ringgit datang dan kita boleh terus berganding bahu untuk membangunkan Kelantan.
Masing-masing pihak memainkan peranan dalam kapasiti dan bidang kuasa dan purview yang telah ditetapkan.
Apa sangatlah yang hendak disusahkan Kelantan berada di bawah PAS? Siapa berani menafikan bahawa tahap pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan yang sedang dinikmati oleh rakyat Kelantan pada tahun 2007 jauh lebih baik daripada zaman pra-1990 sewaktu berada di bawah pemerintahan Umno?
Bahkan apa yang lebih istimewa ialah di bawah pimpinan Parti Islam SeMalaysia di Kelantan kita ada pembangunan kerohanian yang cukup membanggakan.
Kita haramkan riba dengan memindahkan Akaun Kerajaan dari bank konvensional kepada bank Islam. Sampai sekarang pun saya perhatikan negeri-negeri lain belum lagi melakukan perkara ini.
Begitu juga dengan pajak gadai Islam Ar-Rahn yang telah dibuka di seluruh pelusuk negeri. Kita telah cuti dua hari seminggu yang telah ditiru oleh kerajaan Pusat.
Kita naikkan jumlah cuti bersalin yang juga telah ditiru oleh kerajaan Pusat. Kita menggalakkan wanita menutup aurat. Kita haramkan kedai-kedai judi. Mengawal dengan ketatnya penjualan arak dan premis tempat minum. Akhir-akhir ini kita telah melancarkan skim insurans Kifaalah.
Kita membuka peluang program Pembangunan Ladang Rakyat untuk disertai pelbagai kaum tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa. Pendek kata kita telah berusaha dan sedang berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk membangun spiritual umat dengan membangun generasi sejak di alam persekolahan lagi.
Dalam konteks ini kita ada sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebagai tapak semaian ke arah melahirkan rakyat Kelantan sebagai insan yang faham akan fungsi perhambaan terhadap Allah S.W.T.
Dengan latar belakang ini, saya juga tidak faham logik yang cuba dibawa di sebalik gesaan pemimpin Umno untuk menukar kerajaan. Sepatutnya mereka yang menggesa pemimpin kebangsaan menukar dasar.
Soal saya tidak sihat, tidak timbul kerana orang yang sihat pun boleh mati. Dan, boleh jadi yang sihat hari ini tidak lagi sihat di pagi esok.
Dalam keadaan kononnya saya tidak sihat ini pun, Umno naik susah. Jadi, susah Umno ini bukan kerana saya tidak sihat tetapi kerana ia lahir dari kewujudan saya dan persoalan-persoalan yang saya kemukakan gagal dijawab sampai sekarang.
Adakah maksud ditukar kerajaan supaya bertukarlah kerajaan yang pro-Islam kepada kerajaan yang pro-sekular dan pro-perkauman berteraskan Melayu?
Mahukah rakyat Kelantan kembali kepada kegelapan sedangkan mereka saban hari mendoakan supaya mereka dapat keluar daripada “zulumaat” kepada kerajaan yang mempunyai “Nuur”.
Saya sesungguhnya cukup khuatir dengan amaran Allah S.W.T. melalui firmanNya yang bermaksud:
“Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ada ombak (pula), di atasnya (lagi) ada awan; gelap gelita yang tindih bertindih apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barang siapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.” - (Surah An Nuur: Ayat 40).
Mudah-mudahan kita tidak termasuk di kalangan orang yang menyeru supaya kembali semula kepada kegelapan.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
www.tranungkite.net

Gambar Rumah Terbakar Yang Mengorbankan 5 Nyawa

Wednesday, August 8, 2007

Renungkan Sejenak

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!" Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti.
Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.
Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika. "Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik.
Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..." "Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an,cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah , bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain.
Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet ."Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar. "Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."
"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... " "Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar". "Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan pikiran masing-masing di kepalanya...
RENUNGILAH SAHABAT SEMUA.. TOLONG SEBARKAN PADA SAUDARA2 ISLAM KITA..MOGA ALLAH MEMBERI TAUFIQ DAN HIDAYAH PADA KITA DAN KELUARGA KITA... MARILAH KITA SAMA2 SEDAR BAHAWA AGAMA,BANGSA DAN TANAHAIR KITA SEMAKIN TERANCAM! UMAT ISLAM SEMAKIN MUDAH DIBELI DENGAN WANG RINGGIT, DILALAIKAN DENGAN KEINDAHAN DAN MEMUJA KESERONOKAN HIDUP, HINGGA HILANG MARUAH DAN HARGA DIRI!! JUSTERU, MARILAH, KITA BETULKAN APA YG TERMAMPU BERSAMA2..USAH HANYA BILA SEGALANYA SUDAH TERJADI, SAMA SEPERTI SAUDARA KITA DINEGARA2 LAINNYA, BARU KESEDARAN ITU TIMBUL, MUNGKIN MASIH BELUM TERLAMBAT TAPI KITA SUDAH TERLEWAT UTK MERUBAH DAN MEMBAIKI KEROSAKAN YG DIALAMI. YA ALLAH, SATUKANLAH UMAT ISLAM.AMIIINN...
Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, tolonglah forwardkan e-mel ini kepada sahabat2 Islam kita yang lain. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan..ALLAHU AKHBAR!!!!