Monday, December 24, 2007

TG Haji Hadi : Bagi Peluang PAS dan Keadilan Menang Di dalam PRU Akan Datang

TG Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Partai Islam SeMalaysia hari ini menyeru rakyat negara ini supaya memberi peluang kemenangan kepada PAS dan Keadilan di dalam Pilihanraya umum akan datang untuk mengubah kepimpinan negara ini demi menghapuskan kezaliman yang jelas berlaku ke atas rakyat.
Beliau telah menyeru rakyat supaya tidak menjadi bangang dan bebal untuk tidak mahu kepada perubahan dan Barisan Alternatif bersepakat untuk membawa reformasi kepada sistem demokrasi di negara ini, jelas beliau lagi.
Di dalam ucapannya juga, Haji Hadi telah menyelar pemimpin UMNO yang telah bertindak kurang ajar kepada Islam.Dasar Ekonomi Baru, yang pada dasarnya mempunyai cita-cita yang luhur untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, namun telah dirosakkan perlaksanaannya oleh pemimpin UMNO yang mengutamakan keahlian UMNO di dalam pemberian projek-projek dimana pembahagian kekayaan negara hanya diboloti oleh UMNOPUTRA.
Beliau telah mengupaskan berkenaan dengan kenyataan bahawa Islam meletakkan "keadilan" sebagai prinsip penting di dalam sesuatu pemerintahan.Haji Hadi juga telah memberikan penerangan tentang pengalaman PAS memerintah Terengganu setelah diberikan mandat oleh rakyat selepas pilihanraya 1999 dimana beliau selaku Menteri Besar ketika itu telah melakukan beberapa perubahan besar untuk membasmi kemiskinan di Terengganu.Kadar kemiskinan di Terengganu telah menurun dengan ketara dimana di zaman pemerintahan Barisan Nasional sebelumnya, Terengganu disenaraikan sebagai negeri kedua termiskin di negara ini. Namun di bawah pemerintahan PAS yang hanya sepenggal, pemerintahan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan negeri Terengganu berada di kedudukan yang keempat termiski berbanding tempat kedua di masa pemerintahan BN.
Semasa PAS memerintah Kelantan rakyat tanpa mengira kaum, ugama dan politik telah diberikan peluang yang tidak pernah dirasai dizaman pemerintahan UMNO contohnya pemberian geran tanah kepada masyarakat Cina di Kuala Terengganu.Tol dan beberapa cukai yang membebankan rakyat marhain telah dihapuskan semasa pemerintahan PAS.
TG Haji Hadi juga sebelumnya telah mengupas kisah kezaliman Raja Namrud di zaman Nabi Ibrahim a.s. dan telah ditewaskan dengan hanya tentera yang kecil itu nyamuk yang telah masuk ke telinganya setelah Namrud bertindak zalim memerintahkan Nabi Ibrahm dicampakkan ke dalam api.
Terdahulu darinya, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustadz Azizan Abdul Razak telah berucap dan menyatakan bhaw PAS dan Keadilan Keda telah epakat di dalam tugastugas kerjasama menghadapi pilihanraya yang akan datang.PAS dan Keadilan Kedah juga telah membereskan soal pembahagian kerusi yang dipertandingkan di alam Pilihanraya yang datang ini dan Barisan Alternatif, menurutnya, telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa hatta diadakan esok hari sekalipun.
Beliau juga telah mendedahkan terhadap perkhabaran yang beliau perolehi mengenai kegusaran UMNO terhadap sambutan rakyat kepada parti PAS dan Keadilan di tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Dengan kehadiran rakyat yang begitu ramai di dalam majlis ceramah tesebut termasuk dari yang bukan Islam, beliau optimis PAS dan Keadilan akan meraih kemenangan yang cemerlang di dalam pilihanraya yang akan datang.
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap di majlis ceramah berkenaan dan beliau telah menjelaskan bahawa kekayaan di negara hari ini diboloti oleh segelintir kroni UMNO.Beliau yang baru kembali dari satu majlis di Lunas melaporkan mengenai sambutan besar dari masyarakat golongan India terhadap parti Keadilan dan PAS dimana ribuan masyarakat India telah mengerumuni majlis ceramah yang diadakan di Pejabat PAS.UMNO kini memainkan isu perkauman Hindraf untuk memburukkannya, tambah beliau lagi.

Monday, December 10, 2007

3 tragedi 9 Disember:

Oleh Tuan Guru Haji Ab Hadi Awang

PAS melihat beberapa insiden yang berlaku pada hari ini dengan penuh kebimbangan dan menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap apa yang berlaku itu.
Pertama:

Tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang enggan memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS, iaitu Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berikutan Perisitwa Hitam Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 September, 2007 lalu.

Keenganan memberikan ikat jamin kepada kedua-dua ahli PAS ini sangat luar biasa sedangkan semua kes yang dituduh terhadap mereka dibenarkan ikat jamin. Menurut rekod kedua-dua mereka adalah mangsa yang ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis dalam kejadian tersebut.

Dalam kes ini juga PAS berdukacita atas keputusan Peguam Negara yang bertindak sendiri sebagai pendakwa dalam kes yang disebut di di peringkat Mahkamah Sesyen ini.

Kedua:

Penangkapan terhadap lima orang peguam dan tiga aktivis yang sedang meraikan hari Hak Asasi Sedunia di Kuala Lumpur anjuran Majlis Peguam Malaysia pagi tadi. Turut ditahan adalah seorang ahli Majlis Peguam kerana menghalang pihak DBKL dari menurunkan sepanduk perayaan tersebut.

Tindakan pihak polis melakukan penangkapan dalam majlis aman dan memperingati "Hari Hak Asasi Sedunia" seumpama ini sudah pasti mencacatkan lagi rekod hak asasi negara yang telah sedia tempang dan tercemar.

Ketiga:

Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Naib Presiden PAS, Hj Muhammad Sabu di Ipoh, ketika beliau sedang membawa rombongan perkahwinan anak perempuan beliau di sana. Beliau ditahan kononnya kerana menyertai perhimpunan haram.

Berikutan tindakan-tindakan ini PAS menganggap kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mula bergerak ke arah sebuah "Negara Polis" (Police State) dan tidak lagi menjunjung sistem demokrasi yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan kita.

Saya menyeru semua ahli-ahli PAS di seluruh negara khasnya diperingkat kawasan-kawasan agar menunaikan solat hajat dipimpin oleh para ulamak peringkat masing-masing, dengan memohon ke hadrat Allah SWT agar menghapuskan segala bentuk kezaliman ini dan menyelamatkan kita semua dan negara tercinta ini dari angkara buruk kerajaan Barisan Nasional yang jelas membelakangkan demokrasi dan hak asasi itu