Saturday, August 30, 2008

Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.
Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.
Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.
Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.
Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.
Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.
PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.
Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.
Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.

Presiden PAS

Friday, August 29, 2008

Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah

Dr Osman Nasir

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.
Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.
Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.
Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.
Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.
Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.
Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.
Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.
Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.
Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.
Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.
Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.
Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.
Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.
Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.
Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.
Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.
Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.
Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.
Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam alangkah indahnya suasana ini.
Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah. - mks

Thursday, August 28, 2008

DSAI Mengangkat Sumpah Sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh di Dewan Rakyat pada hari ini 28 Ogos 2008 di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Monday, August 25, 2008

Khairy pembohong! - Hu Pang Chow

SUNGAI LALANG, 24 Ogos (Hrkh) - Dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin bahawa PAS telah menolak sama sekali Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) serta tidak membantu kempen di Permatang Pauh dinafikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow.
Ujar Hu, Khairy bercakap bohong dengan mengemukakan pelbagai alasan terhadap dakwaannya itu semasa berceramah di Bilik Gerakan Umno malam kelmarin.
"Saya ingin berpesan, kalau cakap bohong, menurut kepercayaan orang Cina, bila mati nanti turun ke neraka, lidah akan dipotong. Jadi tolong sampaikan kepada orang Umno, sebagai orang Islam hendaklah jadi manusia yang beriman dan bertakwa, jangan sekali-kali cakap bohong.
"Kita kena ingat, cakap bohong ini kena jawab sampai ke akhirat. Tak dapat jawab dengan baik (penghakiman di akhirat), nanti kena masuk neraka selama-lamanya," katanya pada ceramah sempena Expo Perpaduan Rakyat 2008 (EXPRA 08) di Taman Bandar Baru (TBB), di sini malam semalam.
Dalam ceramahnya itu, Hu turut mendakwa wujud kempen menggunakan wang pada pilihan raya kecil tersebut.
"Saya difahamkan, orang MIC dan MCA mula edar wang di Permatang Pauh. Kata mereka, jika majoriti DSAI dapat dikurangkan bawah 10,000, pengundi di Permatang Pauh akan terima RM200 lepas pilihan raya kecil ini.
"Dengan menerima RM200 dan menyebabkan Umno terus berkuasa serta melakukan pelbagai penyelewengan, maka ia juga merupakan satu dosa. Tetapi jika mereka beri RM200 tanpa syarat, ambil sahaja dan anggaplah ia rezeki kita. Lagipun duit itu memang Umno 'curi' dari poket kita.
"Kalau tidak percaya pergi tanya menantu Perdana Menteri yang baru berumur 30-an itu, macam mana boleh jadi jutawan? Kita kerja berpuluh-puluh tahun mahu kumpul RM10,000 pun susah. Oleh itu kita jangan biarkan lagi mereka curi duit kita," ujarnya menyebabkan hadirin ketawa. - mr _

Tuesday, August 19, 2008

Pemimpin perlu selami derita rakyat - Ustaz Idris

Ramai orang mahu jadi pemimpin kerana senang kaya, dapat pangkat, kuasa dan populariti. Jawatan pemimpin tidak lagi dianggap amanah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Timbalan Pengarah Tarbiyah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menjelaskan maksud 'ulul amri' ketika diwawancara Harakahdaily.

HARAKAH: Ramai orang mahu jadi pemimpin tetapi segelintir berjaya memegang jawatan pemimpin. Boleh ustaz jelaskan perkara ini?
USTAZ IDRIS: Pertama apabila kita bercakap soal kepimpinan, perkara yang perlu kita sedar ialah apabila lahir seseorang, dia tidak akan terus menjadi pemimpin yang baik. Ia perlu pada satu bentuk latihan (tamrin) yang perlu kita lakukan, satu oleh parti kepada dia dan yang kedua dia sendiri bersedia untuk diprogramkan untuk menjadi pemimpin dan kita mempunyai piawai dan kalau tidak pun Nabi Muhamad s.a.w., Khalifah Ar-Rasidin yang kita anggap sebagai satu lambang paling tinggi.
Begitu juga kepada yang sering diuar-uarkan ialah berkenaan dengan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz. Sekurang-kurangnya kita mesti menuju ke arah itu. Setakat hari ini kita melihat tidak ada lagi yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin agung dunia yang bukan di kalangan umat Nabi Muhamad s.a.w. Kita dapat buktikan bagaimana Baginda sendiri walaupun dunia itu berada di bawah tapak kakinya, tetapi Baginda masih dapat kekalkan sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Maka dengan itu sepatutnya kita berasa tercabar dan berasa malu dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai ikon. Sepatutnya kita sebagai pemimpin dan wakil rakyat PAS kena rasa tercabar dengan kenyataan ini dan berusaha lebih daripada Guan Eng.
Ini yang perlu kita lakukan supaya orang tidak akan nampak kita sebagai parti yang hanya tahu bercakap tetapi tidak sama dengan apa yang dilakukan.

Apa yang menyebabkan sebahagian besar pimpinan atau wakil rakyat sukar untuk menunaikan janji dan mesra rakyat selepas meraih kemenangan?
Sebenarnya dalam soal ini, Islam telah memberikan satu formula yang mudah bagi kita. Satu dalam soal bab dunia kita kena melihat orang yang lebih bawah daripada kita.
Kita kena melihat penderitaan rakyat dan penderitaan penyokong tegar PAS. Mereka bertungkus-lumus untuk kejayaan pemimpin. Mereka tidak mengharapkan wang malahan mereka mengorbankan segala-galanya.
Pengalaman saya bertanding dalam pilihan raya umum ke-12. Kadang-kadang saya hendak menitis air mata apabila melihat pengorbanan penyokong PAS di peringkat bawahan.
Malam penamaan calon di Batu 9 di Pejabat Perhubungan PAS Kedah, seorang tua datang kepada saya. Saya tengok cara pakaian dan hidup memang dia seorang yang susah. Orang kampung, tetapi dia bagi duit RM10 kepada saya. "Ambil la ustaz, inilah yang saya boleh...(ketika menceritakan peristiwa itu Ustaz Idris terhenti seketika menahan sebak).
"Inilah yang saya boleh sumbangkan untuk...(Ustaz Idris sebak dan terdiam) untuk perjuangan PAS. Saya tidak boleh bagi apa, ini saja yang saya boleh bagi. Saya tolak, saya kata saya tak nak...(kata-kata ustaz terhenti dan menangis...).
Saya kata saya tak nak duit itu saya nak bagi balik duit itu. Lama-lama dia menghilang.
Itulah contoh yang dapat kita lihat bagaimana pengorbanan orang bawahan kita.
Sebab itu kita mesti meletakkan sikap pakcik itu sebagai satu contoh yang boleh mendidik diri. Ini dalam soal dunia.
Unit Amal merupakan ikon saya kerana boleh mendidik jiwa saya. Saya merasakan Unit Amal berkhidmat tidak ada benda yang mereka harapkan daripada parti. Mereka bertungkus-lumus, berhujan panas dan mereka langsung tidak ada kepentingan dunia.
Sebab itu kita lihat Nabi Muhammad s.a.w. dididik hatta dipelihara oleh Abu Talib. Abu Talib orang susah. Sebab itu Nabi cukup prihatin terhadap orang susah. Banyak hadis yang menunjukkan tentang "Sesiapa yang tidak ambil tahu tentang urusan saudara kami yang lain maka dia bukan daripada kalangan aku."
Ini menunjukkan perlunya kita mengambil berat berkenaan masalah rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik.

Tanggungjawab pemimpin itu berat tetapi mengapa senario sekarang ramai berebut-rebut untuk menjadi pemimpin?
Kita tengok Sayidina Umar Al-Khattab ketika dilantik menjadi pemimpin, sehingga dia memberitahu; "Kalaulah jalan yang dibuat itu walaupun manusia jarang lalu tapi oleh kerana yang lalu itu kalau ada binatang yang jatuh sebab rosak jalan itu Umar akan ditanya oleh Allah SWT."
Ini menunjukkan Sayidina Umar tahu betapa beratnya tanggungjawab seorang pemimpin. Kita sekarang bukan masalah binatang yang memerlukan bantuan tetapi manusia amat memerlukan kepada prihatin seorang pemimpin.
Sayidina Umar pergi ziarah malam-malam tengok rakyatnya. Ini suatu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh pemimpin. Ini perkara yang pernah ditunjukkan dalam sejarah Islam tentang tanggungjawab Sayidina Umar terhadap rakyatnya.
Hadis Nabi bermaksud; tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT antaranya ialah pemimpin yang adil akan duduk dekat dengan Nabi dan mendapat perlindungan Arsy nanti tetapi dalam masa yang sama ada dugaan.
Sebab itu Sayidin Umar Al-Khattab waktu anak dia (Abdullah) hendak dicalonkan menjadi penggantinya, Umar berkata; "cukuplah keluarga Umar tidak mampu menghadapi soalan di hadapan Allah SWT."
Sedangkan Umar cukup terkenal dan boleh digandingkan dengan dua Umar, satu Umar Al-Khattab dan Umar Al-Aziz yang cukup hebat. Itu pun mereka berasa gerun dengan soalan pada hari akhirat.

Bagaimana pandangan ustaz apabila pemimpin dalam parti terlalu diagung-agunkankan?
Islam tidak membenarkan manusia mengagungkan Nabi Muhamad s.a.w. melebihi Allah SWT. Hubungan Nabi Muhammad s.a.w. dengan manusia sebagai umat dengan Rasul. Kita berdoa dengan Allah bukan dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda tidak membenarkan manusia terlalu mengagungkannya. Ini perlu dijadikan sebagai asas dalam kehidupan kita jika mahu menjadi pengikut kepada seorang pemimpin.
Kita perlu menjadi pengikut selagi pemimpin tidak menyuruh perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w. menyebut; "Tidak boleh taat kepada makhluk yang melakukan maksiat kepada Allah."
Sebab itu PAS tidak pernah mendewa-dewakan mana-mana pemimpin. Dalam sukatan tarbiyah, PAS meletakkan akidah Islam sebagai utama. Ahli PAS menyertai perjuangan parti bukan kerana seorang pemimpin.
PAS tetap mempunyai dasar yang begitu dan ini suatu kejayaan. Dalam soal pengikut kita tidak taksub kepada mana-mana pemimpin.
PAS pernah kehilangan Yang Dipertua pertama, Tuan Guru Haji Muhammad Fuad tetapi PAS terus bergerak dan dipimpin oleh Dr Abbas. PAS kehilangan Dato' Asri Muda tokoh yang hebat tetapi apabila beliau keluar parti PAS terus mara.
Begitu juga kita pernah kehilangan Setiausaha Agung PAS, Osman Abdullah; panglima jihad Ustaz Azhar Ali; bekas Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Nasir dan bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad�yang banyak membuat kertas kerja PAS serta membentang program tarbiyah tapi apabila masuk Umno ahli PAS tidak mengikut jejak beliau. Ini menunjukkan kita tidak taksub kepada mana-mana pemimpin.
Ahli PAS berjuang bukan kerana pemimpin tetapi dasar yang PAS pegang. Itu yang sepatutnya ahli PAS pegang. Dan itu juga yang Nabi ajar kepada umat-Nya.
Kita boleh jadikan seorang pemimpin itu sebagai ikon selagi dia berpegang dengan prinsip agama. Jika pemimpin tersebut menyimpang daripada prinsip agama kita tidak perlu taat kepadanya. - lanh _

Sunday, August 17, 2008

Antara Perkara Negatif Yang Sering Dikaitkan Dengan PR Setiap Kali Berlaku Pilihanraya

Wahai Pemimpin BN, sedarlah rakyat Malaysia sudah cerdik dan celik. Mereka tahu siapa pemimpin yang boleh dipercayai.
"Bertindak ganas Penyokong PKR serang jurugambar, maki hamun pada penamaan calon P. Pauh"
BUKIT MERTAJAM 16 Ogos – Hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh hari ini dicemari insiden ganas dan kempen agresif para penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Di Lebuh Raya Kulim-Butterworth berdekatan pusat penamaan calon Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) di sini, dua jurugambar termasuk seorang dari agensi berita asing dibelasah oleh sekumpulan penyokong parti itu ketika kedua-duanya sedang membuat liputan.
Dalam insiden kira-kira pukul 1.30 petang itu, jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis, 26, dan Halim Berbar, 28, dari HBL Press News, Perancis, bukan sahaja teruk dipukul malah mangsa kehilangan kameranya yang dilarikan kumpulan terbabit.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas berakhir proses penamaan calon yang mana para penyokong PKR bertindak mengepung dan menyerang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh penyokong BN.
Mohamed Sairen yang menyaksikan kejadian itu cuba merakamkan insiden tersebut dari atas kenderaan berkenaan kemudiannya turut diserang.
Terdahulu, tindakan provokatif dapat dilihat apabila penyokong PKR membanjiri perkarangan pusat penamaan calon dengan mereka menghamburkan kata-kata kesat seperti ‘anjing, barua dan anak haram’ ke atas para penyokong dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengiringi Datuk Arif Shah Omar Shah.
Antara yang turut dilemparkan kata-kata nista itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Tindakan agresif penyokong PKR itu bertentangan dengan jaminan Setiausaha PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim pada 3 Ogos lalu yang meminta pengikut parti itu menjaga perlakuan mereka termasuk memberi layanan yang baik kepada semua petugas media sepanjang kempen pilihan raya tersebut.
Perilaku tidak bertanggungjawab penyokong PKR tidak berhenti setakat itu sahaja apabila pagi ini sekumpulan lelaki yang memakai baju-T berlogo parti tersebut tanpa segan silu meraba sekumpulan ahli Puteri UMNO malah bertindak liar meludah mereka.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi ketika anggota Puteri itu sedang menuju ke pusat penamaan calon hampir mencetuskan pergaduhan di antara penyokong kedua-dua parti tetapi keadaan tegang itu dapat dikawal oleh pasukan polis yang bertugas.
Najib yang mengulas insiden ganas penyokong PKR itu menyatakan rasa kesal sambil menyifatkan mereka tidak menghormati undang-undang sedia ada.
Nada sama turut disuarakan oleh Shahrizat yang menganggap pengalaman beliau melewati laluan menuju ke pusat penamaan calon hari ini sebagai bukan sahaja menakutkan malah memalukan.
‘‘Mereka mencarut, maki hamun dan buat isyarat lucah terhadap kaum wanita dan ibu.
‘‘Malu saya apabila ada ibu dan bapa yang bawa anak kecil juga melihat perlakuan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, kejadian penyokong PKR meraba ahlinya tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan penyokong Melayu beragama Islam.
‘‘Ini belum apa-apa lagi dah tunjukkan kekasaran. Budaya samseng di kalangan pemuda pembangkang sudah ada, pada hal ini baru hari penamaan calon.
‘‘Kumpulan lelaki yang meraba dan meludah jentera Puteri UMNO itu kena hormat dan melindungi golongan wanita, bukannya melakukan perkara tidak senonoh,” katanya.

Friday, August 8, 2008

Amilin PAS digesa hayati peristiwa Israk,Mikraj

BESERI, 8 Ogos (Hrkh) - Dalam peristiwa Israk Mikraj terdapat tiga cabaran utama dalam perjuangan menegakkan Islam yang perlu oleh dihayati setiap amilin PAS
"Dalam peristiwa agung itu, semasa Nabi s.a.w dimikrajkan ke langit bertemu dengan Allah s.w.t., terdapat suara-suara panggilan dari syaitan, Yahudi/Nasrani dan dunia yang mana malaikat Jibril melarang baginda berpaling," jelas Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan PAS Perlis, Ustaz Yussaine Yahya.
Menurutnya, ketiga-tiga panggilan inilah jika dituruti akan merosakkan umat manusia.
"Bisikan syaitan sentiasa akan mengganggu pemikiran manusia, khususnya kita yang berjuang menegakkan Islam. Bisikan inilah yang sentiasa meruntun jiwa insan sehingga lalai dari menuruti perintah Allah.
"Golongan Yahudi dan Nasrani pula sentiasa berusaha untuk merosakkan Islam dari pelbagai sudut. Contohnya ini kita diasak dengan pelbagai bentuk hiburan yang disuburkan dalam jiwa khususnya anak-anak muda.
"Manakala panggilan dunia pula akan menghancurkan manusia dan melalaikan kita dari mengingati Allah. Bila kita terlalu sibu mengejar dunia, kita akan melupakan Allah, lupa pada perjuangan menegakkan agama Allah," katanya ketika menyampaikan ceramah sempena program penghayatan Israk Mikraj anjuran PAS Cawangan Taman Melati Indah dekat sini kelmarin.
Justeru beliau mengingatkan setiap ahli PAS supanya terus beriltizam untuk berjuang menegakkan agama Allah tanpa mengira sama ada dalam keadaan susah atau senang mahupun semasa menang atau kalah.
"Peristiwa Israk Mikraj memberi banyak pengajaran kepada kita yang perlu dihayati khususnya kita yang duduk dalam perjuangan ini," serunya lagi.

Wednesday, August 6, 2008

Pesan Tok Guru - Lebih baik menderma daripada beli rokok

KOTA BHARU, 4 Ogos (Hrkh) - Mereka yang gemar merokok disaran meninggalkan tabiat buruk tersebut dan menggunakan wang membeli rokok itu untuk menderma.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak seorang pun pegawai perubatan menyebut merokok tidak membahayakan kesihatan.
"Sekiranya wang berkenaan digunakan untuk menderma termasuk pembinaan masjid, dan sekolah, ia dapat membantu seseorang itu di akhirat kelak.
Kalau hisap rokok, bukan sahaja tak dapat pahala, penyakit pula yang datang," ujarnya pada satu program di sini, baru-baru ini.
Ketika berucap sebelum itu beliau menyifatkan mereka yang enggan menunaikan ibadat solat seperti melakukan perbuatan kurang ajar kerana tidak mahu mengikut perintah Allah Taala.
"Lebih baik saya mengeluarkan perkataan kurang ajar di dunia ni berbanding balasan neraka jahanam kepada mereka yang tidak mengerjakan solat," katanya.
Menurutnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj Allah telah memperlihatkan kepada baginda bagaimana seorang hamba menghantukkan kepalanya ke batu sehingga pecah, kemudian bercantum kembali dan menghantuknya semula berulang kali.
"Peristiwa itu menggambarkan bagaimana balasan terhadap manusia yang engkar tidak mahu sujud kepada Allah sehingga akhirnya mereka terpaksa menghantuknya sendiri," ujarnya.