Tuesday, March 25, 2008

Umno Muar tuntut Abdullah undur

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Sokongan terus terang kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai Presiden Umno sudah bermula.

Di Muar, sebuah akhbar tempatan melaporkan 80 ketua cawangan mendesak pemimpin mereka mengadakan mesyuarat agung khas bahagian itu untuk menuntut Abdullah berundur.
Kumpulan itu, termasuk jawatankuasa, Pemuda dan Wanita bahagian berkenaan berkumpul di rumah Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman untuk mendapatkan pandangannya sebelum membuat keputusan mereka.
Mereka kecewa apabila Ketua Bahagian Muar, Datuk Mohd Ismail Mohd kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Adun Maharani kini ialah Dr Mohamad Taslim dari PAS yang mendapat 8,154 undi dalam pilihan raya baru-baru ini berbanding 7,996 yang diperolehi Mohd Ismail.
Mereka yakin sudah sampai masanya Umno dipulihkan.
Jurucakap mereka, Zakariah Mahadi menyatakan, kepimpinan Umno mestilah bertanggungjawab atas keputusan pilihan raya baru-baru ini dan meletak jawatan.
Zakariah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang menyatakan, ramai ahli Umno di bahagian itu yang sedih dengan kekalahan Barisan Nasional (BN).
"Kami juga mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada usaha Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk memulihkan maruah Umno," akhbar tersebut memetik beliau berkata selepas perhimpunan itu.
Menurut beliau, ahli-ahli di bahagian itu sedih kerana para pemimpin Umno gagal melihat angin perubahan yang melanda negara.
Sementara itu, Kadar yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Tengku Razaleigh berkata, Abdullah sepatutnya mendengar desakan akar umbi yang mahu beliau berundur.
Rakyat, katanya, sudah tidak tahan lagi dengan rasuah, kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa.

Ada rasuah di Kementerian Pelajaran?

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Sebuah syarikat yang membekalkan peralatan projek robot "F1 In School" dihebohkan mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan isteri menteri.
Perkara itu didehkan oleh Presiden Unika PTS, Ainon Mohd dalam laman syarikat berkenaan, universitipts.com
"Entah betul, entah tidak, kononnya "Formula Satu" Sdn Bhd bagi tahun 2006-2007 sudah menerima kontrak bernilai hampir RM80 juta yang melibatkan 300 buah sekolah.
"Bagi tahun 2008 pula, kontraktor itu akan menerima kontrak bernilai RM189 juta lagi bagi membekalkan robot kereta lumba F1 untuk mata pelajaran rekacipta ke 1,700 buah sekolah menengah lagi.
"Macam-macam lagi gosip yang sampai ke telinga kita, semua gosip-gosip itu tidak menyedapkan hati. Yang paling tidak sedap didengar adalah desas-desus kononnya "Formula Satu" Sdn. Bhd. mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan isteri menteri," katanya.
Pada masa ini , katanya, berbuih-buih mulut komuniti bisnes dan komuniti pendidikan bercakap tentang gosip kononnya sebuah syarikat yang bernama F1 In School Sdn Bhd yang dikaitkan dengan nama seorang peniaga Cina Roy Chu, yang akan diberi kontrak RM189 juta oleh menteri pelajaran bagi membekalkan peralatan projek robot F1 itu.
Bagi komuniti pendidikan pula, kata Ainon lagi, mereka mempersoalkan mengapa harus mata pelajaran rekacipta diajarkan kepada murid dengan cara mewajibkan mereka merekacipta kereta robot F1 menggunakan gajet-gajet dan sofwer yang akan dibekalkan oleh syarikat F1 In School Sdn Bhd.
Sedangkan mata pelajaran rekacipta dapat diajarkan menggunakan banyak peralatan lain yang lebih murah dan efektif, kata beliau.
"Gosip-gosip sedang merebak kencang dari mulut-ke-mulut yang dikaitkan dengan deal-deal bagi projek-projek yang melibatkan ratusan juta ringgit untuk perbekalan mesin, gajet, penaikan taraf makmal dan peralatan makmal bagi mata-mata pelajaran teknikal dan vokasional, di mana setiap kos projek dinaikkan berlipat-lipat ganda harganya.
"Antara nama-nama syarikat kontraktor yang disebut-sebut adalah Khazanraya Sdn Bhd, Formula Satu Sdn Bhd, Jalinraya Sdn Bhd, dan Vitalis Seri Sdn Bhd.
"Digosipkan bahawa empat buah syarikat itu adalah berkaitan antara satu sama lain dan nama-nama lembaga pengarah Melayunya hanya menjadi muka depan sahaja kepada seorang tokoh bisnesman Cina yang infamous," kata Ainon dalam laman tersebut.
Menurut beliau, bukan baru hari ini sahaja mulut-mulut komuniti bisnes dan komuniti pendidikan berbuih-buih bercakap tentang pelbagai projek pembelian buku dan bukan-buku yang berlaku di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), yang dikatakan dibuat oleh orang politik dengan tidak dibincangkan terlebih dahulu dengan pakar-pakar pendidikan.
Satu lagi pembelian yang digosipkan itu adalah pembelian produk LEGO. Ya, syarikat pembuat permainan LEGO dari Denmark, negara yang dikaitkan dengan lukisan kartun menghina Nabi Muhammad, katanya.
"Produk LEGO itu adalah untuk digunakan oleh guru-guru bagi mengajarkan mata pelajaran rekacipta di semua sekolah menengah. Menurut yang empunya gosip, RM10 juta sudah dibayarkan kepada kontraktor pembekal pada 2007, manakala RM141 juta lagi akan dikeluarkan tahun 2008 ini.
"Menurut gosip yang sedang merebak macam api belukar musim panas itu, baik peruntukan RM189 juta untuk membeli gajet F1 mahupun RM151 juta untuk membeli LEGO, kedua-dua kontrak itu dirundingkan terus (direct negotiation) antara kontraktor dengan menteri, tidak menggunakan sistem tender biasa," kata beliau.
Menurut beliau, demikian juga dengan pemilihan produk yang dibeli, menterinya hanya mendengar nasihat daripada agen-agen dan salesman F1 dan LEGO, dengan tidak meminta nasihat pakar-pakar yang ada di kementerian.
"Gosip yang kita dengar mengatakan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) tidak pernah memasukkan kedua-dua produk itu dalam kurikulum rekacipta yang digubalnya, oleh itu PPK tidak mempunyai bajet untuk membeli gajet F1 dan LEGO, yang kedua-duanya bernilai RM340 juta.
"Malah pegawai-pegawai PPK tidak tahu menahu akan pembelian itu sehinggalah diberitahu oleh sumber dari pejabat menteri sendiri," kata Ainon.

Tuesday, March 18, 2008

Kemenangan BA, doa mangsa dizalimi dimakbulkan!

Aliza Jaffar
Masihkah kita ingat seorang mangsa ditendang dan dipijak oleh polis semasa perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007? Beliau adalah saudara Aleyasak.

Pada hari ini, saudara Aleyasaklah antara rakyat Malaysia yang paling gembira dan amat bersyukur dengan kemenangan pakatan Barisan Rakyat dalam Pilihanraya ke 12 baru-baru ini.
Doa beliau yang dianiaya ternyata dimakbulkan Allah dalam masa hanya tiga bulan. Apa tidaknya, beliau yang dianiaya begitu rupa oleh polis semasa perhimpunan aman itu masih belum hilang sakit. Masih belum sembuh lutut dan kakinya telah dianugerahkan Allah satu kemenangan walaupun beliau terpaksa menanggung derita sakit dan dihina.
Saya dan suami meluangkan sedikit masa menziarahi beliau dan isterinya Mariam serta dua orang anak lelaki kecil mereka di rumah mereka di Sg. Long, Kajang, Selangor.
Mereka amat terharu kerana tidak dilupakan. Kami juga amat terharu dan dapat merasakan kehilangan yang mereka lalui. Kini Mariam terpaksa bekerja untuk menampung keperluan keluarga. Aleyasak tidak aktif lagi. Dulu beliau berniaga kecil-kecilan tapi kini kerana kecederaan lututnya maka pergerakannya sangat minima. Semasa kami berbual, kadang-kadang dia mengeluh kesakitan.
Kini, anaknya yang sulong, Muhammad Anas Shahrizal Aqasha sudah bersekolah darjah satu. Dia sering bertanya kenapa ayah tak boleh main-main lagi dengan dia? Angkara beberapa orang anggota polis yang tidak berperikemanusiaan, haknya untuk bermain dengan ayahnya seperti dulu telah hilang. Adiknya Muhammad Aqil Shahrizal Aqasha 4 tahun, pula masih belum begitu faham apa yang telah berlaku kepada ayahnya.
Mariam pula amat sedih kerana terpaksa meninggalkan suaminya menguruskan anak-anak di rumah atau untuk ke sekolah kerana beliau terpaksa keluar awal. Perbuatan tidak bertanggungjawab beberapa anggota polislah yang memisahkan beliau dari tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
Kami telah menghubungi peguam Aleyasak. Mereka sedang merancang untuk fail saman untuk Aleyasak dan dalam proses.
Pertemuan sejam dengan mereka sekeluarga mengingatkan kami ramai lagi rakyat Malaysia perlu pembelaan. Kami sendiri mangsa kezaliman ISA berharap dengan perubahan dalam politik tanah air kini, masa depan rakyat Malaysia lebih cerah. Undang-undang yang mencabul hak rakyat moga dapat dihapuskan segera.
Sumbangan saudara Aleyasak tak mungkin dapat rakyat Malaysia lupakan. Perhimpunan hebat pada 10 November 2007 pemangkin kepada semangat rakyat untuk membuat perubahan.
Saudara Saari Sungib yang baru sahaja menang di DUN Hulu Kelang, Gombak akan meneruskan perjuangan membela rakyat semoga keadilan benar-benar dapat dinikmati oleh semua.

Thursday, March 13, 2008

Pengalaman luas aset utama Nizar terajui Kerajaan Negeri Perak

Mengenali Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.


Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom. Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.


Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.


Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta. Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.


Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).


Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul. "Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.


Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).


Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Di samping itu Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat. Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak. - mr

Almarhum Fadzil Noor perintis sebenar kemenangan rakyat 8 Mac

UNTUK penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Aqidah dan Perjuangan' oleh Ustaz Fadzil Noor yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.

Lapan tahun Presiden PAS, dan Ketua Pembangkang yang berkaliber Dato' Fadzil Mohd Noor sudah pergi meninggalkan kita.
Lapan tahun itu sebenarnya masih terlalu muda kerana hanya minggu lalu kita mengecapi 'kejayaan' yang sebetulnya dirintis oleh almarhum. Tanpa menafikan Anwar Ibrahim sebagai pemangkin kejayaan Barisan Rakyat baru-baru ini, ustaz Fadzil Noor adalah insan yang pertama memungkinkannya.
Buat mereka yang masih muda dan tidak pernah mendengar nama beliau, ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama’ terkenal di Kedah asal Patani.
Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Semasa memimpin ABIM, 'aspirasi rakyat yang baru kita kenal manisnya 8 Mac lalu' telah pun diharung dengan penuh kepahitan oleh Ustaz Fadzil Noor.
Sebelum Tian Chua, Mohamad Sabu, dan pimpinan Hindraf pandai berdemonstrasi ustaz Fadzil telah turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.
Al-marhum telah menjadikan perjuangan membela rakyat sesuatu yang sebati. Dan itu bukan hanya kata-kata kerana Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap saya hujung tahun 1970an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.
Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Beliau tidak lain tidak bukan adalah aspirasi dan inspirasi pimpinan Barisan Rakyat hari ini yang beria-ia memperjuangkan perhimpunan aman di bawah satu sistem demokrasi yang adil.

Oleh kerana kedegilan Ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap. Dan penangkapan itu telah meledakkan kemarahan di Kuala Trengganu jauh lebih lama sebelum berlaku peristiwa Batu Buruk tahun lalu.
15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera. Hasil perundingan dengan pihak polis Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.
Beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah. Seingat saya ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan UMNO mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama YDP PAS Kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin. Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan berikutan kematian Hj. Shaari.
Mengapa saya katakan Ustaz Fadil sebagai perintis kemenangan rakyat 8 Mac lalu?
1. Barisan Rakyat Mendapat Semangat Beliau

Tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban paling besar, mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengh-tengah tragedi Memali. Dalam sejarah kebangkitan rakyat bagi konteks Malaysia (yang dikecapi manisnya generasi baru 8 Mac lalu), peristiwa Memali adalah suatu peristiwa hitam yang merupakan penindasan kuasa angkuh.
Sebagai antara pembantu Prof Zulkifli Muhammad sebelum itu ustaz sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan kaum-kaum bukan Melayu. Kita semua tahu Prof Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.
Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzil lah maka beliau menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam. Barisan Rakyat yang disifatkan oleh Haji Husam sebagai buta warna (kerana rakyat tidak mengira apa ia merah, hitam atau hijau) 8 Mac lalu beroleh manfaatnya dari kerja-kerja awal ustaz inilah.
2. Kebijaksanaan Politik Melampaui Zaman
Idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.
Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan menguasainya sehingga 8 Mac lalu.

Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan. Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat 'membantu' Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.
Ini menunjukkan Ustaz Fadzil memilih essence Islam iaitu membantu dan menghulur tangan kepada 'golongan yang tertindas'. Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.
Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara.
Wan Azizah 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir. Jika tidak kerana ustaz Fadzil yang merintis kerjasama ini, Parti Keadilan sudah lama hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.
Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:
"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini"
Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.
Juga kebijaksanaan ustaz telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam – menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.
3. Pemimpin Tidak Lupa Sejarah

Sebagai pemimpin yang bijak pendekatan tahaluf siyasi yang dikemukakan oleh Ustaz Fadzil Noor itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.
Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini. Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.
Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu juga PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.
Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya dijadikan model baru bagi perjuangan PAS yang telah diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.
Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.
Idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA. Jika tidak kerana apa yang dirintis oleh PAS ini, Bersih, gerakan untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi menentang ketidakadilan dan penyewengan demokrasi belum tentu menjadi kenyataan. Bersih kemudiannya menjadi Barisan Rakyat yang menghukum parti tertentu dalam pilihanraya baru-baru ini.
4. Menjadikan Poros Islam Political Force
Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengenengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.

Menyedari itu, PAS dibawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islam lah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.
Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang berwajah wahabi dengan penuh bijak untuk menjuarai Islam aktual berteraskan waqi atau keadaan setempat. Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.
Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana: a. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; b. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; c. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan e. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.
PAS telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.
Tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin Barisan Rakyat hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi'lah yang menjadi keutamaan.
Dengan persefahaman untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya bersama DAP; parti kiri berteras kaum itu secara tiada sedar telah menerima essence Islam. DAP 'diasuh' memahami yang negara Islam secara praktiknya adalah negara berkebajikan yang berteras agama, yang agama itu pula membela hak asasi dan menyebelahi golongan tertindas.
Penutup

Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah tunggak kejayaan rakyat baru-baru ini.
Rakyat yang melakukan perubahan 8 Mac lalu mesti kenal bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Pemimpin yang ada sekarang, baik sebesar manapun beliau hanyalah penerus sahaja. Tanpa usaha al-marhum ustaz, hampir tidak terfikir Barisan Rakyat berada di kedudukan ini.
Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, yang hasilnya dituai oleh sebahagian besar rakyat pada 8 Mac lalu, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-fatihah untuk al-marhum./wannordin

al-Fatihah. - http://tehranifaisal.blogspot.com/

Wednesday, March 12, 2008

MB Perak: Kekecohan hanya manipulasi media

Tarmizi Mohd Jam Wed
Mar 12, 08 4:04:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Kekecohan yang berlaku beberapa hari ini dalam soal perlantikan Menteri Besar menampakkan sedikit kekeliruan.

Kebanyakannya semacam tidak memberi perhatian kepada peruntukan undang-undang dan kekecohan itu telah dimanipulasikan oleh media milik BN untuk melaga-lagakan PAS dan DAP terutamanya.

Keadaan itu sengaja dipaparkan begitu supaya para pengundi Melayu terutamanya takut dengan pembangkang yang mereka gambarkan sukar untuk bekerjasama kerana ideologi dan karakter yang saling bertentangan.
Menurut Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam soal perlantikan Menteri Besar ialah bahawa hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik ke jawatan itu.
"Sebab itu di Perak meskipun DAP memiliki jumlah kerusi yang paling banyak di kalangan barisan pembangkang mereka perlu memberikannya kepada parti-parti yang mempunyai Adun Melayu," jelas Dr. Abdul Aziz lagi.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa peruntukan seperti itu tidak ada di negeri-negeri yang ketua kerajaannya bergelar Ketua Menteri. Sebab itu di Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak siapa sahaja yang mempunyai majoriti banyak boleh dilantik mengetuai kerajaan negeri berkenaan.
Dr. Abdul Aziz memberitahu bahawa meskipun begitu Sultan boleh melantik orang bukan Melayu jika itu perlu. Dengan kata lain hanya Sultan sahaja yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Ertinya meskipun DAP mempunyai majoriti terbanyak, parti itu tidak mempunyai kata putus dalam perlantikan Menteri Besar.
Pakar Perlembagaan itu seterusnya menjelaskan bahawa syarat Melayu dan Islam itu juga perlu dalam perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan.
Dengan itu di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik untuk menduduki kerusi Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Perlembagaan memperuntukkan syarat ini, kata Dr. Abdul Aziz lagi, untuk meneruskan kedudukan dalam negeri-negeri Melayu sebelum merdeka dan ini diteruskan selepas merdeka dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang tertera di dalam Perkara 8(5)(e).
Dr. Abdul Aziz memberitahu bahawa syarat Melayu dan Islam itu bagaimanapun tidak disebut oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dengan itu, di sisi undang-undang orang bukan Melayu dan bukan Islam boleh dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya ia adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti mudah dalam dewan berkenaan.
Mengenai kedudukan di negeri Perak yang semacam bermasalah, Dr. Abdul Aziz menjelaskan bahawa di sisi undang-undang PAS boleh bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya DAP atau PKR berkeras mahukan Adun mereka untuk dilantik ke jawatan Menteri Besar dan PAS tak boleh menerimanya.
"Soal parti tidak penting di sisi undang-undang. Apa yang penting ialah bilangan Adun yang cukup untuk membentuk majoriti mudah di dalam dewan," jelas Pensyarah UIAM itu lagi.

Doa TG Nik Aziz dimakbulkan, Awang Adek tumpas

Tok Guru yang kuat pergantungannya pada Allah s.w.t.
Stadium Sultan Muhammad yang penuh sesak dengan muslimin dan muslimat yang bermunajat pada Allah pada malam menjelang PRU 12
Muslimat tidak mahu ketinggalan bermunajat bersama Tok Guru dan pimpinan PAS yang lain.
Tarmizi Mohd Jam
Wed Mar 12, 08 3:33:00 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - DOA Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat termakbul akhirnya, yang berharap Dr. Awang Adek yang bercita-cita untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan dan menjadi Menteri Besar BN, tidak tertunai.
Pada pilihan raya lalu, Awang Adek yang sudah diisytiharkan bakal Menteri Besar Kelantan jika BN menang, bertanding di dua kerusi iaitu Dun Perupok menentang Dato' Omar Muhamad dari PAS (penyandang) dan Parlimen Bachok (penyandang Awang Adek) menentang Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.
Awang Adek tumpas dan diaibkan di kedua-dua kerusi tersebut. Wajahnya berubah dan panik (disiarkan secara langsung oleh tv) apabila ditanya wartawan berkenaan hasrat menawan Kelantan, ketika PAS terus diumumkan kemenangan demi kemenangan.
Di Parlimen Bachok, Nasharuddin mendapat 28,835 undi dan Awang Adek memperolehi 25,934 undi dengan majoriti sebanyak 2,901 berbanding pilihan raya lalu 1,698.
Di Dun Perupok pula, Awang ditewaskan oleh penyandang kerusi itu, Dato' Omar Mohd dengan majoriti 1,270. Awang memperolehi 8,235 undi sementara Omar mendapat 9,505 undi.
Beberapa hari sebelum tiba hari pembuangan undi, Tok Guru Nik Aziz mendoakan agar BN tidak menang di Kelantan dan hasrat Dr. Awang Adek untuk menjadi Menteri Besar tidak dimakbulkan Allah s.w.t.
Dalam temu bual eksklusif Mingguan Wasilah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau yakin rakyat Kelantan sudah cukup licik dan bijak untuk membuat penilaian antara PAS dan BN di negeri ini.
"Saya doakan cita-cita Awang Adek (jadi MB) tidak akan dimakbulkan Allah kerana perjuangannya setakat untuk dunia, matlamatnya hanya pembangunan, sama seperti lain-lain ideologi ciptaan manusia termasuklah komunis," tegas Adun PAS kerusi Cempaka itu.
Katanya, PAS minta rakyat undi parti itu kerana PAS mahu laksanakan ajaran al-Quran dalam pemerintahan.
Sedangkan BN berpegang kuat pada perjuangan pembangunan dan tidak menyebut soal dosa pahala. Tiada ajaran lain yang sebut soal dosa pahala melainkan Islam. - mns