Monday, May 26, 2008

Sukan PASTI Johor dan Rehlah Unit Amal Kluang 2008

Pada 24 Mei 2008 yang lalu, PASTI Kawasan Kluang telah mencipta sejarah dengan menjadi juara Sukan PASTI Johor 2008. PASTI Kawasan Kluang telah menjuarai acara Bolasepak dan mendapat tempat kedua acara Bola Jaring.
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat saya Sdr Nizahullail yang berjaya memimpin PASTI dengan baik. Tidak lupa ucapan terima kasih saya kepada guru-guru PASTI Kluang yang bertungkus-lumus melatih pemain hampir setiap hari dengan dibantu ibubapa pemain yang turut perihatin.
Guru-guru ini telah mengorbankan masa dan wang ringgit mereka untuk mempastikan kejohanan tahun ini milik mereka. Terima kasih diucapkan kepada jurulatih bolasepak Sdr Syam, Sdr Isa dan lain- lain yang melatih pemain boalsepak mengikut kemampuan mereka masing-masing.
Terima kasih kepada Kak Ruby yang melatih pemain bola jaring. Walaupun tidak menjadi juara tetapi permainan bolajaring PASTI Kluang sangat berskil.
Tahniah kepada semua !
Pada tarikh yang sama seramai 30 orang peserta telah menyertai Rehlah Unit Amal Kluang yang dijalankan di Tanjung Resang, Mersing.
Program yang diketuai oleh Sdr Ahmad Zaki telah berjaya menghimpunkan ahli veteran Unit Amal Kluang bersama-sama dengan ahli yang masih pemuda dan juga disertai beberapa orang ahli remaja unit amal.
Aktiviti yang dijalankan termasuk tazkirah, memancing dan sukan. Ust Mohd Azam selaku Ketua Lujnah Tarbiyyah, DPPNJ telah menyampaikan kuliah maghrib.
Unit Amal Kluang juga telah menjemput Ust Muhammad Esa bin Jaafar dari Jelebu, Negeri Sembilan untuk memimpin Qiyamullail dan Kuliah Subuh. Kehadiran Ustaz Muhammad Esa atau lebih mesra dengan panggilan Imam Esa telah memberi motivasi kepada semua ahli Unit Amal yang hadir.
Tahniah kepada semua yang telah menyertai Rehlah Unit Amal Kluang. Semoga program seumpama ini akan dilaksanakan pada masa akan datang.
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang

Tuesday, May 20, 2008

Ura-ura KTM henti perkhidmatan dibantah pengguna


KLUANG, 20 Mei (Hrkh) - Kalau sebelum ini Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan perjalanan empat trip sehari bagi laluan Singapura-Tumpat-Singapura termasuk ekspres Kuala Lumpur-Singapura, tetapi mulai 15 Januari lalu, hanya dua trip sahaja berhenti di Stesyen kecil, itu pun di stesen tertentu sahaja.

Difahamkan mulai 1 Jun depan semua perkhidmatan penumpang yang sebelum ini berhenti untuk mengambil penumpang di semua stesen kecil seperti Renggam dan lain-lainnya, akan ditamatkan sepenuhnya.

Hanya perkhidmatan keretapi ekspres akan terus beroperasi, seperti yang dimaklumkan, keretapi ini hanya akan berhenti di stesen-stesen besar sahaja, perubahan ini dijangka akan menimbulkan masalah besar kepada pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan ini.

Bagi penumpang yang sebelum ini boleh menaiki keretapi di stesen kecil, masalah akan timbul apabila mereka terpaksa pergi ke stesen besar yang jaraknya sudah tentu lebih jauh daripada tempat tinggal mereka.

Bapa kepada seorang pengguna tetap keretapi yang ditemui di Renggam, Gunasegaran Nadesen, memberitahu, anaknya yang bekerja di Singapura menaiki keretapi setiap kali balik kampung.

"Sebelum ini anak saya boleh naik keretapi di Renggam saja, tetapi sekarang terpaksa naik di Layang-Layang pula sebab keretapi ini sudah tidak berhenti di Renggam lagi, selepas ini lebih sukar lagi apabila terpaksa pergi ke Kluang yang jaraknya lebih jauh lagi.

"Kita sudah menemui Ketua Stesen Renggam untuk bertanya kenapa perkhidmatan ini dihentikan, dia beri alasan, ini arahan pihak atasan,"jelasnya.

Katanya lagi, pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan keretapi sebagai pilihan utama merasa sangat kecewa dan marah dengan tindakan KTM menamatkan perkhidmatan ini, mereka juga turut mempersoalkan apa rasional perkhidmatan ini ditamatkan.

"Kenapa perkhidmatan yang memberi kemudahan kepada rakyat ini perlu ditamatkan, apakah KTM telah mengalami kerugian yang sangat besar sehingga mereka terpaksa menamatkan perkhidmatan ini.

"KTM atau kerajaan tidak sepatutnya hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata sebaliknya mereka perlu mengutamakan kepentingan rakyat, sekiranya mereka benar-benar perihatin serta bertanggungjawab terhadap rakyat maka perkhidmatan ini hendaklah dikekalkan.

"Sebagai tanda protes di atas tindakan KTM yang dianggap membelakangkan kepentingan rakyat ini, penduduk akan mengadakan kempen mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bagi membolehkan isu ini dibangkitkan di Parlimen," jelas beliau lagi. - mks.

Salman Hussin

Monday, May 19, 2008

Dr Mahathir umum keluar Umno

ALOR SETAR, 19 Mei (Hrkh) � Berita terbaru benar-benar mengejutkan apabila mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno dan hanya bersedia kembali ke pangkuan parti itu selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.
Ini seakan-akan membayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang dalam masa terdekat ini selepas kehilangan kuasa majoriti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Perletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta. Bukan sekadar meletak jawatan sebaliknya beliau menyaran ahli-ahli Umno supaya turut berbuat demikian.
Dr Mahathir memberitahu beliau bertindak keluar Umno kerana tidak yakin dengan kepemimpinan Abdullah.
Saya akan hanya kembali semula ke parti tersebut apabila pucuk pimpinan ditukar, katanya sebagaimana dipetik Malaysiakini.com.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap dalam satu forum di Alor Setar pagi tadi.
Dr Mahathir juga menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.
Beliau bertindak keluar parti yang diterajuinya selama 22 tahun, seakan-akan menurut jejak langkah dibuat Perdana Menteri pertama selepas merdeka, Tuanku Abdul Rahman.
Tuanku Abdul Rahman menyertai Semangat 46 selepas Umno diharamkan ekoran kekalutan pada pemilihan merebut jawatan presiden 1987.
Bagaimanapun, Dr Mahathir meminta mereka (pemimpin Umno) supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.
"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 sejak 1981. - mj

Wednesday, May 14, 2008

Presiden PAS saran Terengganu, Sabah, Sarawak diberi 20 peratus royalti minyak

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) menggesa kerajaan menambahkan royalti Petronas sebanyak 20 peratus kepada ketiga-tiga negeri iaitu Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Walaupun ketiga-tiga negeri terbabit mempunyai sumber asli itu, katanya ketiga-tiga negeri inilah juga mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi berbanding negeri lain.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Pembangkang, selepas tidak diberi peluang untuk mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab bagi soalan pertama yang dikemukan oleh Ketua Pembangkang Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh).
"Tadi saya memang bersedia untuk memberi soalan tambahan, malangnya Speaker tidak memberi peluang, bukan saya sahaja tetapi hampir semua barisan Pakatan Rakyat," katanya.
Katanya, royalti itu juga boleh diberi mengikut pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan tahap kemajuan negeri berkenaan.
Menurut Abdul Hadi, dalam perjanjian dengan Petronas, mana-mana negeri yang perairannya memiliki petroleum akan diberi royalti sebanyak lima peratus.
"Tetapi mengapa tidak di Terengganu, kerajaan pusat telah merampas royalti pada tahun 2000, ini bercanggah dengan perjanjian yang dibuat," katanya.
Beliau kesal kerana Terengganu tidak dapat menikmati lima peratus royalti sedangkan royalti itu masih diberi kepada Sabah dan Sarawak.
"Walaupun masalah ini dibawa ke mahkamah dan sehingga ke hari ini tidak selesai, dalam masa yang sama kita hendak tahu melalui saluran mana kerajaan mengalirkan royalti itu," katanya.
Terdahulu, Wan Azizah dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan jumlah pengeluaran minyak dan gas pada tahun 2007 mengikut pecahan negeri, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta hasilnya mengikut pasaran dunia.
Wan Azizah juga meminta kerajaan menjelaskan berapakah jumlah royalti yang diperolehi negeri-negeri tersebut sejak tahun 2004 berdasarkan kadar pengeluaran dan berapa lama lagi rezab minyak dan gas dapat bertahan di kawasan-kawasan tersebut. - mns/ mr

MB dan ADUN Pakatan Rakyat Perak naik bas ke Parlimen

IPOH, 12 Mei :- Sejarah dilakar oleh ADUN-ADUN Pakatan rakyat bersama Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin apabila untuk pertama kalinya mereka ke Bangunan Parlimen dengan menaiki bas bersama-sama.Menjawab pertanyaan wartawan di bangunan SUK Ipoh sebelum melangkah menaiki bas, Ir. Nizar menyatakan langkah yang dilakukan adalah untuk berjimat dan mengurangkan perbelanjaan tuntutan yang besar kalau semua ADUN PR ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereka sendiri.
Dalam Sidang akhbar dibangunan Parlimen, beliau mengatakan lawatan tersebut adalah dengan tujuan mengikuti perbahansan di Dewan rakyat untuk mendapatkan pendedahan dan melihat pengalaman yang ditimba. Kami datang demgan menaiki bas mudah-mudahan dalam sidang DUN Perak kami dapat menjawab soalan dalam sisi perbahasan.
Dalam kesempatan lawatan tersebut rombongan telah mengadakan kunjungan hormat kepejabat Ketua pembangkang, Datin Seri Wan Azizah, Preesiden Pas, Dato' Seri TG. hj. Abdul hadi Awang dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Sdr. Lim Kit Siang.
Ir. Nizar juga menyatakan suapaya para wartawan media arus perdana dan alternatif melapor sesuatu untuk menyakinkan rakyat. dan pemberitaan yang benar dan salah akan dipertanggungjawab oleh Allah SWT.
Ceramah

Pelancaran Kelab Penyokong PAS Kawasan Kluang


YB Ustaz Firdaus Jaafar
Ahli Parlimen Jerai

Tuan Hj Zulkifli Ahmad
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor

Cik Kumutha A/P Raman
Bekas Calon DUN Tiram

Selasa 20 Mei 2008

9.00 malam

Kampung Paya Dalam, Kluang

Tuesday, May 13, 2008

Gaji Penasihat PM Kenyataan Akhbar YB Zulkifli

"Saya telah menerima jawapan bertulis daripada YAB Perdana Menteri dalam soalan lisan yang saya kemukakan membabitkan gaji, emolumen, elaun dan kos berkaitan 3 orang Penasihat YAB PM iaitu:

Penasihat Petronas YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad;
Penasihat Agama Islam YBhg Tan Sri Abdul Hamid Othman;
Penasihat Khas Hal Ehwal Pembangunan Wanita & Sosial YBhg Dato’ Shahrizat Abdul Jalil.
YAB Perdana Menteri memberi Jawapan berikut:
Penasihat Petronas: RM15,000-00 sebulan (tak termasuk kemudahan yang disediakan saperti kos kakitangan, pejabat, logistic dan lain-lain yang tidak diberikan jumlahnya);
Penasihat Agama Islam: RM27,163 sebulan (dan RM18,643-25 untuk gaji/ elaun kakitangan);
Penasihat Wanita: RM33,727-20 sebulan (tak termasuk gaji/elaun kakitangan yang masih dalam proses kelulusan JPA).
Ini bermakna kos untuk menanggung ketiga-tiga Penasihat ini untuk setahun berjumlah RM1,134,401-40. Ini adalah satu jumlah yang besar untuk menanggung 3 orang Penasihat yang tiada sebarang fungsi ataupun fungsi yang bertindih (duplicate). Sedangkan YAB PM sudah punya Lembaga Pengarah Petronas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bhg. Agama (YB Datuk Dr. Zahid Hamidi) dan Menteri Pembangunan Wanita & Sosial YB Datuk Ng Yen Yen untuk menasihati beliau dalam hal-hal berkaitan.
Persoalan pokoknya ialah untuk apa ketiga-tiga Penasihat Lapuk ini dilantik. Apa fungsi dan tugas mereka?!Saya menegaskan bahawa ini merupakan satu penyalahgunaan dan pembaziran wang rakyat sedangkan kita mendengar rintihan rakyat miskin samada yang disuarakan dalam Parlimen atau diluar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dan jawapan yang diberi biasanya adalah kerana kerajaan tiada peruntukkan.
Sedangkan wang rakyat berjumlah RM1.34j ini boleh menanggung seorang anggota polis selama 12,371 bulan/ atau 1,030 tahun (pada gaji RM900-00 sebulan). Wang RM1.34j ini boleh membina 36 biji rumah untuk rakyat miskin pada kadar RM25,000-00 sebuah rumah.Mengapakah perlu wang rakyat sebanyak RM1.34j ini dibazirkan kepada dinasour UMNO, pupusan Wanita UMNO dan golongan pencen UMNO. Tidakkah rakan-rakan komponen UMNO didalam BN terutama dari Sabah & Sarawak berasa amanah rakyat dikhianati dengan pembaziran seumpama ini.
Tidakkah kakitangan kerajaan, polis tentera yang menggadai nyawa, guru-guru, pak tani nelayan penoreh getah, orang-orang kampong berasa terhina dengan pembaziran wang sebegini banyak hanya untuk memenuhi nafsu serakah politik UMNO yang menggunakan wang rakyat seolah-olah wang makbapak mereka!Kita berdoa semoga rakyat tidak kira apa bangsa dan agama akan celik mata melihat sandiwara keangkuhan dan kesombongan rejim UMNO/BN ini. Semoga suara rakyat akan bangkit untuk mendapatkan kebenaran & keadilan dan menghapuskan rejim UMNO/ BN ini.
Yang memperjuangkan hak rakyat
Zulkifli bin Noordin
Khamis: 02 Jamadil Akhir 1429 / 08 Mei 2008

Gempar: 17 Ahli Parlimen 'Perintis' !

Sumber: agendadaily

Seramai 17 Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan hampir pasti akan menyertai pakatan pembangkang, Rabu ini.

Menurut sumber yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang layak dipercayai, perkara itu bukan lagi perang saraf Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sebaliknya satu perkara akan menjadi kenyataan. Malah menurut sumber itu, seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur yang bergelar Tan Sri dikatakan terlibat di dalam urusan antara Anwar dan para Ahli Parlimen yang berkenaan.

Sumber itu berkata majoriti dariapda 17 Ahli Parlimen BN yang akan menyertai pakatan pembangkang adalah dari Sabah.

Selain itu beberapa orang antaranya adalah dari semenanjung.
Sebelum ini beberapa maklumat yang diperolehi mengatakan Anwar telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen BN termasuk seorang Presiden sebuah parti komponen BN Sabah semasa berada di Hong Kong baru-baru ini.

Anwar juga sebelum ini dilaporkan memberikan bayangan bahawa pakatan pembangkang akan membentuk kerajaan yang baru paling lewat 16 September depan bersempena dengan hari penubuhan Malaysia.

Anwar sejak pilihan raya umum lalu telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berhubung adanya Ahli parlimen BN yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai beliau membentuk kerajaan baru.

Dakwaan yang dibuatnya itu menjadi bualan yang akhirnya mula dikhuatiri akan menjadi kenyataan ekoran prestasi BN yang buruk selepas pilihan raya umum ke-12 yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga.

edyes wrote:

Inilah perintis kejayaan. 17 sebagai permulaan.

Harapan Baru Untuk Malaysia.

Diharap juga ini menjadi kenyataan, bukang omong kosong semata2...

Babi Lagi ?