Monday, April 28, 2008

KEMPEN SETIAP ORANG INFAQ SEBUAH BUKU/KITAB

Dewan Pemuda PAS Pusat telah melancarkan kempen Setiap Orang Infaq Sebuah Buku/Kitab guna melengkapkan galeri ilmu DPPP yang terletak di tingkat 2 Bangunan PAS di Jalan Raja Laut .
Target Dewan Pemuda PAS Pusat untuk fasa pertama ini memerlukan 5 ribu naskhah buku atau kitab yang bermutu untuk menjadi bahan rujukan semua pihak . Galeri ini juga terbuka kepada semua pelanggan Dewan Pemuda PAS Pusat .

Selain penglibatan dan penyertaan aktif Dewan Pemuda dalam pelbagai isu politik dan massa , Dewan Pemuda juga sangat mementingkan ilmu dan berusaha memartabatkan ilmu sehingga ilmu menjadi asas kepada apa jua gerakkerja dan kefahaman anggota parti khasnya dan masyarakat umum amnya.

Justeru itu , Dewan Pemuda sangat mengalu - alukan infaq atau sumbangan ahli DPPP , para aktivis , penyokong dan semua insan yang mementingkan ilmu untuk menghantar sebuah buku atau kitab dalam apa jua bahasa ( Malaysia , Arab dan Inggeris ) asal sahaja buku atau kitab tersebut bermutu dan muktabar untuk pembentukan fikrah , aqidah , syakhsiyyah dan pengetahuan am seperti kepimpinan , budaya , sosial , politik , ekonomi dan antarabangsa .

Syarikat buku atau Maktabah - maktabah Islami , tokoh dermawan dan semua individu prihatin dialu - alukan untuk menyumbang buku atau kitab ke Galeri Ilmu Dewan Pemuda PAS Pusat .
Sumbangan saudara semua akan dijadikan harta waqaf buat Galeri Ilmu Dewan Pemuda PAS Pusat .

Semua buku atau kitab tersebut boleh dihantar sendiri atau dikirim ke Pejabat PAS Dewan Pemuda PAS Pusat yang beralamat :
Galeri Ilmu
Dewan Pemuda PAS Pusat
Tingkat 2 Bangunan PAS
Lot 1636 Jalan Raja Laut
40450 Kuala Lumpur .

Dewan Pemuda PAS Pusat terlebih mengucapkan Jazakumullah Khairan Jaza' atau segala kemurahan hati kalian untuk menyumbang kepada pembangunan galeri ilmu DPPP ini. Semoga Allah memberkati rezeki kalian . Allahuakbar .

Universiti Sains Angkasa Lepas bakal dibina di Johor

JOHOR BAHRU 27 April – Sebuah syarikat tempatan bersama rakan kongsi luar negara bercadang menubuhkan sebuah universiti bernilai RM6.1 bilion yang mengkhusus pengajian sains angkasa lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Next Systems Sdn. Bhd., Noor Faizal Abdul Samad berkata, cadangan penubuhan universiti itu, yang masih di peringkat perbincangan dengan rakan kongsi luar negara, akan dikemukakan kepada kerajaan setelah segala perancangan selesai.
Katanya, sebuah kawasan seluas 1,000 hektar di Kota Tinggi telah dikenal pasti untuk pembinaan universiti yang akan dikenali sebagai Universiti Sains Angkasa Lepas Malaysia (UniSam).
“Jika cadangan terhadap penubuhan UniSam itu diterima, Malaysia akan muncul sebagai negara ketiga di dunia yang mempunyai universiti sains angkasa lepas selepas Embry Riddle Aeronautical University di Florida dan International Space University, Strasbourg, Perancis,” katanya kepada Bernama dalam satu temuramah eksklusif di sini, baru-baru ini.
Noor Faizal berkata, penubuhan universiti bertujuan mengembalikan era kegemilangan Islam di dalam bidang sains angkasa lepas seperti astronomi dan lain-lain.
Sains angkasa lepas, katanya, tidak hanya berkait dengan perkara-perkara di angkasa lepas tetapi turut merangkumi pelbagai perkara serta teknologi yang kini digunakan dengan meluas oleh manusia di bumi.
Beliau memberikan contoh mudah iaitu bateri “Lithium” yang menurutnya adalah satu teknologi yang tercipta hasil kajian pihak berkuasa angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA, ketika di angkasa lepas.
“Teknologi sains angkasa lepas itu amat penting kerana ia telah berkembang kepada teknologi-teknologi lain yang memberikan faedah kepada manusia. UniSam yang akan berteraskan kepada kajian akan membantu kita meneroka teknologi-teknologi ini,” katanya.
Noor Faizal berkata, UniSam akan mempunyai lapan fakulti meliputi bidang-bidang kritikal di dalam kajian sains angkasa lepas seperti Kejuruteraan Angkasa Lepas dan Aeronautik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Biologi, Bio Molekular dan Perubatan.
Bidang-bidang lain termasuklah Kejuruteraan Kimia dan Bio Kimia, Kejuruteraan Komputer, Robotik dan Perisian, Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Geologi, Atmosferik dan Planetari dan Kejuruteraan Matematik, Fizik dan Astronomi.
Beliau berkata, pihaknya bercadang menarik saintis-saintis sains angkasa lepas Islam yang terkenal di dunia seperti Prof. Ahmed Zemail, Prof. Ibrahim Semiz dan beberapa saintis terkenal untuk berkhidmat di UniSam.
Fakulti-fakulti terbabit, katanya, akan mempunyai 29 buah makmal yang dilengkapi dengan peralatan paling moden di Malaysia dan rantau bagi membolehkan projek-projek penyelidikan penuntutnya.
Di antara peralatan-peralatan yang dicadangkan untuk dibina di UniSam merupakan teknologi-teknologi ulung seperti Fusion Reactor atau Thermonuclear Reactor, Linear Collider, Large Binocular Telescope-Neural Network Telescope, High Performance Computing (HPC), Supersonic Wind Tunnel dan makmal simulasi 3D.
Nor Faizal berkata, pembinaan makmal dan peralatan berteknologi canggih di UniSam serta kehadiran saintis sains angkasa lepas terkemuka antarabangsa akan menjadikan universiti berkenaan sebagai pusat rujukan kepada saintis dalam dan luar negara.
“Ini akan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan kepada kajian sains angkasa lepas,” katanya, sambil menambah kata bahawa, sebuah kolej universiti juga dicadang dibina untuk pelajar-pelajar peringkat menengah rendah, bertujuan mempersiapkan mereka sebelum memasuki UniSam.
– Bernama

Sunday, April 20, 2008

Contohi keimanan Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi dan keluarga Yasir

Ustaz Zainudin Hashim

Persoalan akidah amat penting dalam kehidupan harian umat Islam walau di mana jua mereka berada. Kedudukan dan pangkat bukan menjadi ukuran, tetapi akidahlah menjadi teras untuk dilihat oleh Allah s.w.t.

Inilah yang membezakan antara golongan yang beriman dan kafir (menentang) Allah dan Rasul-Nya, tetapi apabila seseorang itu berjaya menguasai diri dengan nilai-nilai iman yang berkualiti di sisi Allah, pasti dia akan menjejaki kejayaan yang maksima.

Begitulah yang perlu ada kepada umat Islam hari ini, satu mekanisme atau contoh terbaik untuk tujuan itu, sejarah telah membuktikan bagaimana al-Quran, Sunnah Nabawiyah dan sirahnya yang berjaya mencungkil individu-individu atau kelompok manusia yang beriman hingga tahap yang cukup tinggi, hingga tidak takut kepada makhluk walaupun bertindak kejam terhadap mereka.

Ashabul Ukhdud (orang-orang yang dicampakkan dalam parit api yang bernyala-nyala), merupakan generasi manusia yang hanya beberapa saat menerima Islam sebagai pegangan hidup hingga ke akhir hayat, namun mereka diuji sama ada mahu meninggalkan agama Islam yang dipegangnya ataupun ingin selamat daripada seksaan dengan menyembah raja yang zalim. Akhirnya mereka tetap memilih Islam yang bertuhankan Allah dan terus dicampakkan dalam parit, tidak kira orang tua, wanita, kanak-kanak, mahupun bayi yang baru dilahirkan.

Begitu juga sikap kental golongan Ashabul Kahfi, di mana kisah mereka dirakamkan Allah dalam satu surah penuh dalam al-Quran, jelas mangajak seluruh umat Islam agar berakidah seperti mereka, yang hanya takut kepada Allah. Ia merupakan satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi oleh segenap individu muslim hari ini, yang meletakkan Islam sebagai agama yang terbaik antara agama-agama yang ada di dunia.

Tidak kurang juga kisah penderitaan yang dialami oleh keluarga Yasir di zaman baginda Rasulullah s.a.w., isterinya Sumaiyah (wanita pertama syahid sebelum hijrah) dan anaknya, Ammar, di mana Yasir dan Sumaiyah hanya beberapa hari memeluk Islam di tangan anaknya di kalangan hamba sahaya, mereka diuji dengan pelbagai tindakan kezaliman yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy bagi memastikan mereka meninggalkan agama Islam yang menjadi pilihan terakhir mereka.

Tapi apakah sebenar hubungan peristiwa berkenaan di atas dengan agenda umat Islam hari ini?
Ia tidak lain, agar mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk melonjakkan diri menjadi insan-insan yang dinaikkan taraf di sisi Allah s.w.t.
Mengapa tidak, kalau kisah di atas menceritakan bagaiamana mereka yang hanya beberapa saat, hari menerima Islam tetapi tetap berpegang teguh tanpa rasa ragu dan goyah, bagaimana pula dengan kita hari ini.

Tanyalah diri sendiri, adakah kita baru seminggu memeluk agama Islam, atau baru sebulan, malah kebanyakan daripada kita berpuluh-puluh tahun menjadi orang Islam, tetapi mengapa masih ramai yang tidak percaya kepada undang-undang Islam dengan memilih fahaman-fahaman ciptaan manusia yang serba kekurangan dalam segenap hal.

Tidakkah kita rasa malu dengan menikmati keindahan bumi ciptaan Allah serta menghirup udara segar pemberian-Nya sedangkan kita tidak sama dengan mereka yang terdahulu daripada kita seperti yang telah ditegaskan di atas.

Marilah kita sama-sama menginsafi dan sering melakukan muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah di mahkamah-Nya pada hari Kiamat, di mana pada hari itu tidak ada naungan melainkan naungan Allah di waktu matahari yang panas terik berada hanya sejengkal di atas kepala, yang boleh menolong ita pada hari itu ialah Nabi Muhammad s.a.w itupun berdasarkan amalan, kepercayaan, pegangan yang betul kepada agama Islam. - mns

Wednesday, April 2, 2008

Akhbar Cina beri liputan luas kepada MB Kedah & Perak

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Walaupun terdapat sebahagian media arus perdana sama ada elektronik dan cetak memberi gambaran negatif dan dilihat cuba 'melaga-lagakan' termasuk menghilang keyakinan rakyat terhadap Menteri Besar dua negeri, Perak dan Kedah namun akhbar cina melakukan sebaliknya.

Dengan mengambil sikap profesional, akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily telah memberi imej yang baik kepada kedua-dua tokoh terbabit dengan membuat liputan meluas kepada mereka.

Menurut laporan, Sin Chew Daily versi online telah memaparkan enam siri temubual eksklusif bagi MB Kedah Ustaz Azizan Razak dan sembilan siri bagi MB Perak Ir. Muhammad Nizar Jamaludin.

Buletin Online melaporkan bahawa liputan akhbar berbahasa Cina terhadap kedua-kedua Menteri Besar dari PAS itu melebihi ruang yang diberikan oleh akhbar media perdana berbahasa melayu.

Antara intipati temubual eksklusif akhbar Sin Chew Daily dengan MB Perak adalah tentang latar belakang keluarga Nizar yang berketurunan Cina.

Selain itu akhbar tersebut mengemukakan persoalan utama dasar-dasar pentadbiran negeri Perak terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar Islam.

Manakala temubual dengan Ustaz Azizan Razak, MB Kedah, adalah berkaitan dengan hak-hak dan peluang ekonomi untuk orang-orang Cina di Kedah.

Perubahan media berbahasa Cina memberi ruang yang lebih kepada tokoh-tokoh PAS di dalam kerajaan Pakatan Rakyat dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam memahami dasar-dasar PAS.

Keadaan ini dijangka akan meningkatkan lagi pengaruh PAS di kalangan masyarakat bukan Islam serta merapatkan jurang maklumat yang selama ini ditutup oleh akhbar perdana berbahasa Melayu.