Monday, January 28, 2008

‘Saya mesti bertanding’ -- Kepala tidak ada mana boleh badan ada lagi – Samy Vellu

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang telah lapan penggal mewakili kerusi Parlimen Sungai Siput berkata, beliau mesti bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan, beliau tidak pernah berasa penat untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan berhenti menerajui parti MIC demi pembangunan dan kemajuan kaum India di negara ini.
“Saya mesti bertanding lagi. Kepala (ketua) tidak ada, mana boleh badan (parti) ada lagi,” katanya kepada pemberita menghadiri Majlis Forum Belia India Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF) di sini hari ini.
Forum tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Samy Vellu, 71, merupakan Presiden MIC paling lama menjawat jawatan itu iaitu sejak tahun 1981.
Beliau pertama kali bertanding di Parlimen Sungai Siput pada tahun 1974. Pada pilihan raya umum 2004, beliau mendapat undi majoriti 10,235 menewaskan calon DAP, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S. Balakrishnan berkata, beliau sudah penat untuk bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.
‘‘Saya sudah penat tetapi kalau diberi peluang saya akan bertanding dan meneruskan perjuangan,” katanya ketika ditemui pada Pesta Pongal yang dianjurkan Biro Kebudayaan MIC Gelang Patah di Skudai dekat sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor itu pertama kali bertanding pada pilihan raya umum pada tahun 1990 dan telah empat kali terlibat dalam pilihan raya.
Beliau merupakan wakil rakyat paling lama memegang jawatan Exco. Balakrishnan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas selepas menewaskan calon Pas, Syed Othman Syed Abdullah dengan memperoleh majoriti 17,307 undi pada pilihan raya umum 2004.
Dalam pilihan raya umum ke-10 pada tahun 1999, beliau berjaya memperoleh 25,691 undi mengalahkan calon Pas, Azam Haron dengan majoriti 17,307 undi.
Sebelum itu, Balakrishnan juga menang ketika bertanding kerusi DUN pada pilihan raya umum 1995 dan 1990.
Mengulas lanjut, Balakrishnan berkata, kedudukannya sama ada bertanding atau tidak pada pilihan raya umum nanti terletak pada pucuk pimpinan MIC.
Katanya, pucuk pimpinan MIC lebih mengetahui tentang masa depan politiknya.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan MIC bakal memperoleh kemenangan lebih besar berbanding pilihan raya 2004 memandangkan sokongan padu masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, di Kuala Lumpur ketika mengulas mengenai forum pembangunan belia India, Samy Vellu berkata, beliau sendiri sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi membentuk rancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah yang membelenggu kaum India.
Katanya, ramai belia India masih mempunyai tanggapan negatif terhadap kerajaan kerana pemikiran mereka telah dipengaruhi dan diracuni pihak tertentu termasuk pembangkang.
Beliau berkata, selain membincangkan masalah kaum India, MIC akan melaksanakan program bersama pertubuhan belia India bagi membuka minda dan menyedarkan mereka tentang peluang yang diwujudkan kerajaan.
“Kita sedar bahawa belia mempunyai minat memajukan diri dan mereka sebenarnya ingin berjaya. Mereka hanya memerlukan peluang serta bantuan. MIC bersedia memberikannya pada bila-bila masa,” kata Samy Vellu.
Sebagai bukti, MIC baru-baru ini telah berjaya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM4.3 juta untuk belia India mengikuti program latihan kemahiran di institusi latihan kemahiran awam, jelasnya.
Beliau berkata, MIC yakin lebih banyak kemudahan akan dapat disediakan untuk belia India di negara ini terutama peluang pekerjaan dalam sektor awam.


No comments: