Monday, April 28, 2008

Universiti Sains Angkasa Lepas bakal dibina di Johor

JOHOR BAHRU 27 April – Sebuah syarikat tempatan bersama rakan kongsi luar negara bercadang menubuhkan sebuah universiti bernilai RM6.1 bilion yang mengkhusus pengajian sains angkasa lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Next Systems Sdn. Bhd., Noor Faizal Abdul Samad berkata, cadangan penubuhan universiti itu, yang masih di peringkat perbincangan dengan rakan kongsi luar negara, akan dikemukakan kepada kerajaan setelah segala perancangan selesai.
Katanya, sebuah kawasan seluas 1,000 hektar di Kota Tinggi telah dikenal pasti untuk pembinaan universiti yang akan dikenali sebagai Universiti Sains Angkasa Lepas Malaysia (UniSam).
“Jika cadangan terhadap penubuhan UniSam itu diterima, Malaysia akan muncul sebagai negara ketiga di dunia yang mempunyai universiti sains angkasa lepas selepas Embry Riddle Aeronautical University di Florida dan International Space University, Strasbourg, Perancis,” katanya kepada Bernama dalam satu temuramah eksklusif di sini, baru-baru ini.
Noor Faizal berkata, penubuhan universiti bertujuan mengembalikan era kegemilangan Islam di dalam bidang sains angkasa lepas seperti astronomi dan lain-lain.
Sains angkasa lepas, katanya, tidak hanya berkait dengan perkara-perkara di angkasa lepas tetapi turut merangkumi pelbagai perkara serta teknologi yang kini digunakan dengan meluas oleh manusia di bumi.
Beliau memberikan contoh mudah iaitu bateri “Lithium” yang menurutnya adalah satu teknologi yang tercipta hasil kajian pihak berkuasa angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA, ketika di angkasa lepas.
“Teknologi sains angkasa lepas itu amat penting kerana ia telah berkembang kepada teknologi-teknologi lain yang memberikan faedah kepada manusia. UniSam yang akan berteraskan kepada kajian akan membantu kita meneroka teknologi-teknologi ini,” katanya.
Noor Faizal berkata, UniSam akan mempunyai lapan fakulti meliputi bidang-bidang kritikal di dalam kajian sains angkasa lepas seperti Kejuruteraan Angkasa Lepas dan Aeronautik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Biologi, Bio Molekular dan Perubatan.
Bidang-bidang lain termasuklah Kejuruteraan Kimia dan Bio Kimia, Kejuruteraan Komputer, Robotik dan Perisian, Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Geologi, Atmosferik dan Planetari dan Kejuruteraan Matematik, Fizik dan Astronomi.
Beliau berkata, pihaknya bercadang menarik saintis-saintis sains angkasa lepas Islam yang terkenal di dunia seperti Prof. Ahmed Zemail, Prof. Ibrahim Semiz dan beberapa saintis terkenal untuk berkhidmat di UniSam.
Fakulti-fakulti terbabit, katanya, akan mempunyai 29 buah makmal yang dilengkapi dengan peralatan paling moden di Malaysia dan rantau bagi membolehkan projek-projek penyelidikan penuntutnya.
Di antara peralatan-peralatan yang dicadangkan untuk dibina di UniSam merupakan teknologi-teknologi ulung seperti Fusion Reactor atau Thermonuclear Reactor, Linear Collider, Large Binocular Telescope-Neural Network Telescope, High Performance Computing (HPC), Supersonic Wind Tunnel dan makmal simulasi 3D.
Nor Faizal berkata, pembinaan makmal dan peralatan berteknologi canggih di UniSam serta kehadiran saintis sains angkasa lepas terkemuka antarabangsa akan menjadikan universiti berkenaan sebagai pusat rujukan kepada saintis dalam dan luar negara.
“Ini akan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan kepada kajian sains angkasa lepas,” katanya, sambil menambah kata bahawa, sebuah kolej universiti juga dicadang dibina untuk pelajar-pelajar peringkat menengah rendah, bertujuan mempersiapkan mereka sebelum memasuki UniSam.
– Bernama

No comments: