Wednesday, April 2, 2008

Akhbar Cina beri liputan luas kepada MB Kedah & Perak

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Walaupun terdapat sebahagian media arus perdana sama ada elektronik dan cetak memberi gambaran negatif dan dilihat cuba 'melaga-lagakan' termasuk menghilang keyakinan rakyat terhadap Menteri Besar dua negeri, Perak dan Kedah namun akhbar cina melakukan sebaliknya.

Dengan mengambil sikap profesional, akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily telah memberi imej yang baik kepada kedua-dua tokoh terbabit dengan membuat liputan meluas kepada mereka.

Menurut laporan, Sin Chew Daily versi online telah memaparkan enam siri temubual eksklusif bagi MB Kedah Ustaz Azizan Razak dan sembilan siri bagi MB Perak Ir. Muhammad Nizar Jamaludin.

Buletin Online melaporkan bahawa liputan akhbar berbahasa Cina terhadap kedua-kedua Menteri Besar dari PAS itu melebihi ruang yang diberikan oleh akhbar media perdana berbahasa melayu.

Antara intipati temubual eksklusif akhbar Sin Chew Daily dengan MB Perak adalah tentang latar belakang keluarga Nizar yang berketurunan Cina.

Selain itu akhbar tersebut mengemukakan persoalan utama dasar-dasar pentadbiran negeri Perak terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar Islam.

Manakala temubual dengan Ustaz Azizan Razak, MB Kedah, adalah berkaitan dengan hak-hak dan peluang ekonomi untuk orang-orang Cina di Kedah.

Perubahan media berbahasa Cina memberi ruang yang lebih kepada tokoh-tokoh PAS di dalam kerajaan Pakatan Rakyat dapat membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam memahami dasar-dasar PAS.

Keadaan ini dijangka akan meningkatkan lagi pengaruh PAS di kalangan masyarakat bukan Islam serta merapatkan jurang maklumat yang selama ini ditutup oleh akhbar perdana berbahasa Melayu.

No comments: