Tuesday, May 20, 2008

Ura-ura KTM henti perkhidmatan dibantah pengguna


KLUANG, 20 Mei (Hrkh) - Kalau sebelum ini Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan perjalanan empat trip sehari bagi laluan Singapura-Tumpat-Singapura termasuk ekspres Kuala Lumpur-Singapura, tetapi mulai 15 Januari lalu, hanya dua trip sahaja berhenti di Stesyen kecil, itu pun di stesen tertentu sahaja.

Difahamkan mulai 1 Jun depan semua perkhidmatan penumpang yang sebelum ini berhenti untuk mengambil penumpang di semua stesen kecil seperti Renggam dan lain-lainnya, akan ditamatkan sepenuhnya.

Hanya perkhidmatan keretapi ekspres akan terus beroperasi, seperti yang dimaklumkan, keretapi ini hanya akan berhenti di stesen-stesen besar sahaja, perubahan ini dijangka akan menimbulkan masalah besar kepada pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan ini.

Bagi penumpang yang sebelum ini boleh menaiki keretapi di stesen kecil, masalah akan timbul apabila mereka terpaksa pergi ke stesen besar yang jaraknya sudah tentu lebih jauh daripada tempat tinggal mereka.

Bapa kepada seorang pengguna tetap keretapi yang ditemui di Renggam, Gunasegaran Nadesen, memberitahu, anaknya yang bekerja di Singapura menaiki keretapi setiap kali balik kampung.

"Sebelum ini anak saya boleh naik keretapi di Renggam saja, tetapi sekarang terpaksa naik di Layang-Layang pula sebab keretapi ini sudah tidak berhenti di Renggam lagi, selepas ini lebih sukar lagi apabila terpaksa pergi ke Kluang yang jaraknya lebih jauh lagi.

"Kita sudah menemui Ketua Stesen Renggam untuk bertanya kenapa perkhidmatan ini dihentikan, dia beri alasan, ini arahan pihak atasan,"jelasnya.

Katanya lagi, pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan keretapi sebagai pilihan utama merasa sangat kecewa dan marah dengan tindakan KTM menamatkan perkhidmatan ini, mereka juga turut mempersoalkan apa rasional perkhidmatan ini ditamatkan.

"Kenapa perkhidmatan yang memberi kemudahan kepada rakyat ini perlu ditamatkan, apakah KTM telah mengalami kerugian yang sangat besar sehingga mereka terpaksa menamatkan perkhidmatan ini.

"KTM atau kerajaan tidak sepatutnya hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata sebaliknya mereka perlu mengutamakan kepentingan rakyat, sekiranya mereka benar-benar perihatin serta bertanggungjawab terhadap rakyat maka perkhidmatan ini hendaklah dikekalkan.

"Sebagai tanda protes di atas tindakan KTM yang dianggap membelakangkan kepentingan rakyat ini, penduduk akan mengadakan kempen mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bagi membolehkan isu ini dibangkitkan di Parlimen," jelas beliau lagi. - mks.

Salman Hussin

No comments: