Tuesday, March 18, 2008

Kemenangan BA, doa mangsa dizalimi dimakbulkan!

Aliza Jaffar
Masihkah kita ingat seorang mangsa ditendang dan dipijak oleh polis semasa perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007? Beliau adalah saudara Aleyasak.

Pada hari ini, saudara Aleyasaklah antara rakyat Malaysia yang paling gembira dan amat bersyukur dengan kemenangan pakatan Barisan Rakyat dalam Pilihanraya ke 12 baru-baru ini.
Doa beliau yang dianiaya ternyata dimakbulkan Allah dalam masa hanya tiga bulan. Apa tidaknya, beliau yang dianiaya begitu rupa oleh polis semasa perhimpunan aman itu masih belum hilang sakit. Masih belum sembuh lutut dan kakinya telah dianugerahkan Allah satu kemenangan walaupun beliau terpaksa menanggung derita sakit dan dihina.
Saya dan suami meluangkan sedikit masa menziarahi beliau dan isterinya Mariam serta dua orang anak lelaki kecil mereka di rumah mereka di Sg. Long, Kajang, Selangor.
Mereka amat terharu kerana tidak dilupakan. Kami juga amat terharu dan dapat merasakan kehilangan yang mereka lalui. Kini Mariam terpaksa bekerja untuk menampung keperluan keluarga. Aleyasak tidak aktif lagi. Dulu beliau berniaga kecil-kecilan tapi kini kerana kecederaan lututnya maka pergerakannya sangat minima. Semasa kami berbual, kadang-kadang dia mengeluh kesakitan.
Kini, anaknya yang sulong, Muhammad Anas Shahrizal Aqasha sudah bersekolah darjah satu. Dia sering bertanya kenapa ayah tak boleh main-main lagi dengan dia? Angkara beberapa orang anggota polis yang tidak berperikemanusiaan, haknya untuk bermain dengan ayahnya seperti dulu telah hilang. Adiknya Muhammad Aqil Shahrizal Aqasha 4 tahun, pula masih belum begitu faham apa yang telah berlaku kepada ayahnya.
Mariam pula amat sedih kerana terpaksa meninggalkan suaminya menguruskan anak-anak di rumah atau untuk ke sekolah kerana beliau terpaksa keluar awal. Perbuatan tidak bertanggungjawab beberapa anggota polislah yang memisahkan beliau dari tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
Kami telah menghubungi peguam Aleyasak. Mereka sedang merancang untuk fail saman untuk Aleyasak dan dalam proses.
Pertemuan sejam dengan mereka sekeluarga mengingatkan kami ramai lagi rakyat Malaysia perlu pembelaan. Kami sendiri mangsa kezaliman ISA berharap dengan perubahan dalam politik tanah air kini, masa depan rakyat Malaysia lebih cerah. Undang-undang yang mencabul hak rakyat moga dapat dihapuskan segera.
Sumbangan saudara Aleyasak tak mungkin dapat rakyat Malaysia lupakan. Perhimpunan hebat pada 10 November 2007 pemangkin kepada semangat rakyat untuk membuat perubahan.
Saudara Saari Sungib yang baru sahaja menang di DUN Hulu Kelang, Gombak akan meneruskan perjuangan membela rakyat semoga keadilan benar-benar dapat dinikmati oleh semua.