Wednesday, August 15, 2007

Kelantan terus membangun, tiada sebab tukar kerajaan

SETELAH Perdana Menteri Malaysia berpeluang meletakkan batu asas jambatan Sultan Yahya Petra kedua pada 2 Ogos 2007 lalu, saya dapat perhatikan satu saranan kuat menggesa rakyat untuk menukar kerajaan.Pengerusi Umno Negeri Kelantan sampai merayu-rayu supaya rakyat sedar bahawa kononnya kerajaan PAS yang dipimpin oleh saya di Kelantan cepat-cepat ditumbangkan kerana kononnya PAS-led state government could not afford to build the infrastructure and provide services which could lure investments. Beliau merayu dengan kata-kata, please realise this. (NST 12 Ogos 2007).
Dato’ Mustapa Mohamad pula menggesa supaya Kelantan diganti dengan pucuk pimpinan baru dan tidak lagi memilih “Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak sihat.” (Berita Harian 12 Ogos 2007).
Saya melihat begini. Orang yang waras di Kelantan tidak akan bercakap mengenai penukaran sebuah kerajaan tanpa sebarang sebab syarie. Orang yang waras akan meniru dan melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sewaktu berhubung dengan kerajaan-kerajaan di luar daripada Kerajaan Islam Madinah.
Dalam hal ini, mesej kunci yang perlu ditelaahi pemimpin-pemimpin Umno ialah firman Allah S.W.T. dalam ayat-ayat seperti berikut:
“Katakanlah: Hai ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada sesuatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah (puja) kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” - (Surah Ali’Imran: Ayat 64).
Berasaskan ayat ini, Nabi S.A.W. telah mengajak pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar dari kerajaan-kerajaan yang tidak Islam pada waktu itu supaya bersatu dan tidak berselisihan dengan cara kembali kepada satu punca kuasa sahaja yakni kuasa Allah S.W.T.
Surat baginda ini dibuka dengan perkataan “Aslim Taslam” yang bermaksud “Islamlah kamu dan anda akan selamat”. Ini bererti bahawa gesaan untuk menukar kerajaan yang sudah pun komited terhadap Islam tidak berbangkit langsung.
Sebaliknya jika ada pun peringatan kepada sebuah kerajaan Islam Kelantan maka peringatan itu hendaklah membawa maksud peringatan untuk kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Soalnya, mampukah para pemimpin Umno mengingatkan kami dengan pesanan sedemikian sedangkan merekalah yang menolak Islam dan menukar ganti Islam itu dengan faham kebangsaan? Mereka yang tolak Islam. Serentak dengan itu mereka menentang kami yang bergerak atas asas Islam.Allah telah menjadikan setiap Nabi dan Rasul Alaihissalam ini memuja Allah dan tidak bersyirik kepadaNya. Apa yang dibuat oleh kerajaan yang komited terhadap Islam di Kelantan ini adalah berpandukan apa yang dibawa oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.
Demikian kami bertekad dan demikian jualah apa yang kami sedang usahakan. Kami membina keyakinan ini di atas analogi bahawa padi dan beras yang kita makan atau getah dan sawit yang kita semai dan tuai ini semuanya adalah daripada Allah S.W.T.
Seawal dan seasalnya setiap butir benih itu adalah dari kurniaan Allah S.W.T. Padi yang kita tanam ini adalah dari tahun lalu. Dan akhirnya kita bertemulah dengan benih padi yang asasnya dibuat oleh Allah S.W.T. Demikian juga dengan manusia yang berasal dari ayah, datuk, nenek yang akhirnya datang dari benih Adam A.S.
Allahlah Yang Maha Bijaksana dan telah menjadikan sesuatu itu dari tiada (Al-‘Adam) kepada ada (Al-Wujud).
Hakikat seluruh kejadian dicipta ini, semuanya bertujuan untuk memainkan peranan Ubudiyyah dan semuanya diisyaratkan dengan jelas dalam lafaz firman Allah yang berbunyi “Wamaa Kholaqtul Jinna Wal Insaana Illaa Liya’buduun”.
Demikian juga dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua, Allah mengisytiharkan bahawa “Dia yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik aktivitinya.”
Prinsip ubudiyyah ini telah diwartakan dalam Kitab-Kitab besar yang telah diturunkan dari langit sejak zaman berzaman. Dia telah dengan kemasnya disempurnakan secara muktamad dengan Al-Quran seperti yang kita petik dari dua ayat di atas tadi.
Islam seterusnya menetapkan pembalasan di akhirat yang dilambangkan melalui kewujudan nikmat Syurga dan azab Neraka sebagai satu lagi asas keimanan.
Sewaktu Isra’ dan Mi’raj, Junjungan kita S.A.W. telah dibawa secara live untuk meninjau dua projek raksasa Allah yakni Syurga dan Neraka.
Ia sememangnya wujud. Ia sesuatu yang “real” dan tidak ada pertikaian dalam kesedaran hidup setiap orang beriman. Saya sesungguhnya tidak nampak apa lagilah cara terbaik yang ada, yang boleh menarik saudara-saudara saya dari Umno untuk kembali kepada titik persamaan dan kesedaran perpaduan berpaksikan kalamullah yang sepenting ini.
Jika pemimpin Umno boleh faham tentang premis fikiran orang-orang yang beriman sudah tentu tidak timbul soal menggesa rakyat untuk menukar kerajaan yang meletakkan Islam sebagai dasar hidup dan fikrah perjuangannya.
Soal peruntukan yang banyak daripada Kerajaan Persekutuan juga tidak timbul kerana tidakkah negara ini adalah berkonsepkan sistem pemerintahan federalisme? Dalam perlembagaan Persekutuan, ada senarai Persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama.
Kami akui bahawa ada projek jalan raya, lebuh raya, hospital, klinik, sekolah, jambatan yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan. Jadi apa salahnya?
Jika Kelantan terus diperintah oleh PAS, apa masalah? Projek dalam jumlah berbilion-bilion ringgit datang dan kita boleh terus berganding bahu untuk membangunkan Kelantan.
Masing-masing pihak memainkan peranan dalam kapasiti dan bidang kuasa dan purview yang telah ditetapkan.
Apa sangatlah yang hendak disusahkan Kelantan berada di bawah PAS? Siapa berani menafikan bahawa tahap pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan yang sedang dinikmati oleh rakyat Kelantan pada tahun 2007 jauh lebih baik daripada zaman pra-1990 sewaktu berada di bawah pemerintahan Umno?
Bahkan apa yang lebih istimewa ialah di bawah pimpinan Parti Islam SeMalaysia di Kelantan kita ada pembangunan kerohanian yang cukup membanggakan.
Kita haramkan riba dengan memindahkan Akaun Kerajaan dari bank konvensional kepada bank Islam. Sampai sekarang pun saya perhatikan negeri-negeri lain belum lagi melakukan perkara ini.
Begitu juga dengan pajak gadai Islam Ar-Rahn yang telah dibuka di seluruh pelusuk negeri. Kita telah cuti dua hari seminggu yang telah ditiru oleh kerajaan Pusat.
Kita naikkan jumlah cuti bersalin yang juga telah ditiru oleh kerajaan Pusat. Kita menggalakkan wanita menutup aurat. Kita haramkan kedai-kedai judi. Mengawal dengan ketatnya penjualan arak dan premis tempat minum. Akhir-akhir ini kita telah melancarkan skim insurans Kifaalah.
Kita membuka peluang program Pembangunan Ladang Rakyat untuk disertai pelbagai kaum tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan bahasa. Pendek kata kita telah berusaha dan sedang berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk membangun spiritual umat dengan membangun generasi sejak di alam persekolahan lagi.
Dalam konteks ini kita ada sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebagai tapak semaian ke arah melahirkan rakyat Kelantan sebagai insan yang faham akan fungsi perhambaan terhadap Allah S.W.T.
Dengan latar belakang ini, saya juga tidak faham logik yang cuba dibawa di sebalik gesaan pemimpin Umno untuk menukar kerajaan. Sepatutnya mereka yang menggesa pemimpin kebangsaan menukar dasar.
Soal saya tidak sihat, tidak timbul kerana orang yang sihat pun boleh mati. Dan, boleh jadi yang sihat hari ini tidak lagi sihat di pagi esok.
Dalam keadaan kononnya saya tidak sihat ini pun, Umno naik susah. Jadi, susah Umno ini bukan kerana saya tidak sihat tetapi kerana ia lahir dari kewujudan saya dan persoalan-persoalan yang saya kemukakan gagal dijawab sampai sekarang.
Adakah maksud ditukar kerajaan supaya bertukarlah kerajaan yang pro-Islam kepada kerajaan yang pro-sekular dan pro-perkauman berteraskan Melayu?
Mahukah rakyat Kelantan kembali kepada kegelapan sedangkan mereka saban hari mendoakan supaya mereka dapat keluar daripada “zulumaat” kepada kerajaan yang mempunyai “Nuur”.
Saya sesungguhnya cukup khuatir dengan amaran Allah S.W.T. melalui firmanNya yang bermaksud:
“Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ada ombak (pula), di atasnya (lagi) ada awan; gelap gelita yang tindih bertindih apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barang siapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.” - (Surah An Nuur: Ayat 40).
Mudah-mudahan kita tidak termasuk di kalangan orang yang menyeru supaya kembali semula kepada kegelapan.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
www.tranungkite.net

No comments: