Tuesday, November 6, 2007

Ustaz Nik Abduh Menulis Berkenaan Hukum Bertepuk Tangan, Bersorak dan Bersiul

Salam Kamunting,
Rasanya elok juga saya menyertai rakan - rakan daripada kalangan ustaz yang banyak menulis mengenai pendapat - pendapat ulama’ muktabar dalam hukum fiqh Islami bagi membantu dan mendekatkan khalayak pembaca mencapai jawaban dalam hukum agama mengenai sesuatu masalah.
Bezanya laman saya ini bukan laman fiqh Islami sebagai terasnya. Juga, saya sekadar menterjemahkan pendapat ulama’ sepenuhnya tanpa membuat perbandingan dan mengemukakan pendapat sendiri. Cuma, hukum itu adalah pilihan saya. Juga, saya pilih sesuatu isu berdasarkan apa yang saya fikir sesuai untuk umum mengetahuinya.
Maaflah ya, saya tidak bersedia untuk menjadikan laman ini sebagai ruang soal jawab fiqh hukum. Jadi, jangan tanya persoalan hukum jika anda merasa kecewa kalau saya tidak menjawabnya segera. Saya pilih apa yang sesuai untuk dijawab bergantung kesesuaian dan keluasan masa yang ada. Rujuklah ruangan soal jawab ugama yang lebih luas dan terkenal.
Hukum fiqh penuh perbezaan pendapat. Jadi, pendapat pilihan saya ini janganlah menjadi medan pertikaian yang tak perlu. Nak bahas juga, bincang di tempat lain. Saya menghormati semua pendapat yang bertentangan.
Oleh kerana saya terlalu terkesan dengan ketokohan Asy Syaikh Al Qardhawi dan kekuatan ijtihadnya, saya mungkin banyak menterjemahkan pendapat beliau. Berbeza dengan cara saya dalam muzakarah buku ‘ugama dan politik’ karangan beliau yang lebih berbentuk intipati dan ringkasan, saya terjemahkan sepenuhnya tulisan beliau. Ini kerana hukum fiqh berbentuk istidlal dan pendalilan yang amat terperinci dan halus. Saya bimbang ringkasan saya menjauhkan, tidak mendekatkan.
Cuma, saya mungkin membuat ulasan sendiri sekadar perlu di akhirnya. Semoga ada manfaatnya di neraca amal di akhirat nanti. WaLlahu a’lam.
Saya mulakan dengan hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul.
Hukum bertepuk tangan, bersorak dan bersiul
Tepuk tangan:
Memukul dengan kedua - dua belah tangan yang menghasilkan bunyi yang didengari. Apabila diulang ia boleh menghasilkan bunyi yang tersusun. Dalam bidalan ada disebut, sebelah tangan tak menghasil tepukan ( Bertepuk sebelah tangan ).
Manusia bertepuk tangan dengan beberapa tujuan:
1) Memberi peringatan seperti apabila ingin memasuki rumah seseorang atau ingin mengingatkan tuan rumah atau ahlinya mengenai kehadirannya, lalu dia menepuk tangan.
Inilah yang warid dan datang dalam hadis yang membenarkan wanita yang menjadi makmum dalam solat jamaah ketika mahu mengingatkan imam yang tersalah untuk menepuk kedua tangannya dari belakang saf agar imam sedar dan kembali membetulkan.
Dalam Hadis sahih, ” Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih ( dengan berkata ‘subhanaLlah‘ ). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya ( memberi perhatian ). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.”- Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Sahl Ibn Saad sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (243).
Dalam Hadis lain, ” Bertasbih adalah untuk lelaki, manakala bertepuk adalah untuk wanita.”. - Hadis muttafaqun ‘alaihi ( Al Bukhari dan Muslim ) daripada Abi Hurairah sebagaimana dalam Al Lu’lu’ Wal Marjan (1204). Maksudnya, ketika dalam solat.
2) Melahir kegembiraan seperti memukul dengan bantuan kompang atau alatan lain dengan alunan yang tersusun yang menghasilkan bunyi yang berimbang sebagaimana kita saksikan dalam lagu - lagu negara Teluk dan sebagainya.
3) Memuji dan memandang baik terhadap sesuatu perkara sebagaimana kita saksikan para penonton memberi tepukan tangan untuk penyair selepas mendeklamasikan sajak dan syairnya, atau tepukan untuk pemidato yang berjaya menyentuh emosi khalayak pendengar sehingga sebaik saja mereka menyudahkan ucapan, dewan terus bergema dengan tepukan dan sorakan puji - pujian daripada para hadirin.
4) Beribadah. Inilah yang telah dilakukan oleh golongan Arab Quraisy jahiliyyah dan seumpamanya dalam ibadah mereka di Masjidil Haram dengan bersorak dan bersiul. Dan Itulah perbuatan yang diingkari oleh Al Quran di dalam firman Allah yang bermaksud : ” Tiadalah solat/ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah. “ Al Anfal: 35.
Al Qurtubi berkata: Berkata Ibnu Abbas: Masyarakat Quraisy jahiliyyah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia merupakan satu ibadat. Muka’ bererti bersiul, manakala tashdiah bererti bertepuk tangan. Itulah pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu Umar.
Daripada Qatadah: Muka’ bererti bertepuk dengan tangan, manakala tashdiah bererti bertempik dan bersorak ( ini berbeza dengan pandangan oleh Mujahid tadi ).
Untuk tujuan yang pertama tadi, ia jelas harusnya di sisi syar’. Tiada siapa pun yang membantah. Untuk tujuan yang keempat juga jelas sekali pengharaman dan tegahan ke atasnya kerana ia merupakan pensyariatan ibadah yang tidak pernah diizinkan oleh Allah.
Hukum ini juga diterima pakai ke atas sesetengah golongan ahli sufi yang melakukan perbuatan tadi dalam amalan mereka. Ini seperti kata Al Qurtubi: Ini adalah jawaban ke atas golongan yang jahil daripada golongan sufi yang menari dan bertepuk dalam ibadah mereka. Ia adalah perkara mungkar yang ditolak oleh mereka yang berakal yang bersih daripada kekarutan itu. Pelakunya telah menyerupai/ tasyabbuh dengan perbuatan ibadah kaum musyrikin di Masjidil Haram.
Kami telah sebut pendapat Al ‘Izz Ibnu Abdus Salam dalam bicara hukum menari sekejap tadi ( dalam bukunya - pent ).
Hukum bertepuk dengan tujuan melahir kegembiraan dan memuji.
Berbaki dua perkara iaitu tujuan kedua dan ketiga perbuatan bertepukan seperti yang kami huraikan tadi iaitu dengan tujuan melahirkan kegembiraan dan keseronokan, juga untuk melahirkan rasa kagum dan memandang baik terhadap sesuatu perkara. Apakah hukum syar’ie dan apakah pendapat fiqh semasa mengenainya?
Hakikatnya, saya tidak menemui sebarang dalil yang muhkam dan kata putus daripada Al Quran dan As Sunnah mengenai pengharaman dan tegahan ke atas kedua - keduanya.
Mungkin sesetengah pendapat mengambil dalil daripada ayat dari ayat 35 Surah Al Anfal tadi yang bermaksud: ” Tiadalah solat / ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ dan tashdiah.“
Tetapi ini adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat tersebut adalah tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk sedangkan di sini tujuannya lain yang tiada pengertian ibadah di dalamnya.
Mungkin juga sesetengahnya mengambil dalil daripada Hadis Nabi sallaLlahu alihi wasallam yang bermaksud: ” Sesungguhnya tepukan itu hanyalah untuk wanita.” Sudah nyata larangan lelaki menyerupai wanita. RasuluLlah sendiri telah melaknati lelaki yang menyerupai wanita.
Tetapi adalah jelas dan maklum bahawa hadis tadi warid dan datang khusus mengenai bertepuk di dalam solat. Maka ia tidak boleh menjadi dalil untuk menegah lelaki daripada bertepuk di luar solat. Inilah yang disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami. Beliau juga menyebut bahawa larangan menyerupai wanita itu adalah pada perkara yang memang khusus untuk wanita ( seperti jenis pakaian, perhiasan dan seumpamanya - pent ) . Adapun bertepuk, ia bukan perkara khusus wanita sahaja.
Kata beliau: “Dan saya nyatakan di dalam Syarhul Irsyad bahawa ianya makruh… Yang paling sahih dalam perkara ini, ianya halal dan harus.”
Berbaki satu hujah iaitu perbuatan bertepuk adalah amalan bukan islamik. Ia adalah amalan orang barat yang telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Kita dilarang menyerupai orang - orang bukan Islam.
Jawabannya: Sesungguhnya kita dilarang menyerupai mereka di dalam perkara - perkara khusus ugama mereka dan cara ibadat mereka. Adapun perihal duniawi, maka tiada sebarang larangan untuk kita meniru mereka apabila ia bebas daripada larangan syara’ atau kerosakan yang ditegah syara’.
Asy Syaikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.
Terjemahan petikan daripada kitab ‘ Fiqhul Lahwi Wat Tarwiih’.
………………………………
Komentar: Saya lebih cenderung untuk menggalakkan hadirin menunjukkan kegembiraan dalam majlis - majlis tertentu dengan cara bertepuk tangan. Antaranya majlis anak - anak PASTI terutama hari penyampaian hadiah dan sukan PASTI. Tepukan memberi ransangan yang baik untuk membina jati diri anak - anak. Saya selalu menyaksikan kejayaan anak - anak tanpa diiringi suasana senyap tanpa tepukan. Sungguh memilukan!
Antaranya, majlis tertentu yang dihadiri khalayak umum termasuk bukan Islam. Ini lebih mengisyaratkan kemudahan dan kemesraan. Jika kita hanya tersenyum ketika mereka bertepuk, ia memberi isyarat perbezaan pada ciri - ciri muslim yang tidak perlu.
Adapun majlis ugama dan politik Islam, laungan takbir tiada penggantinya. Pas melaksanakannya dengan penuh pujian. AlhamduliLlah.
Jadi, jangan segan bersorak, bertepuk dan bertakbir pada himpunan rakyat 100 ribu nanti!! WaLlahu a’lam.

Peringatan Daripada YB Ketua Pemuda PAS Pusat

Pemuda wajib hadir perhimpunan rakyat Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata; "Siapa yang mengaku menjadi ahli Pemuda PAS, wajib hadir dalam perhimpunan aman menuntut pilihan raya yang adil, Sabtu ini."
Beliau membuat arahan khas kepada ahli Pemuda seluruh negara supaya menyertai perhimpunan aman itu bagi memberi kesedaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan menjalankan pilihan raya secara telus.
Perhimpuanan aman anjuran (Bersih) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu 10 November ini, bermula jam 3 petang.
Beliau mengingatkan ahli Pemuda PAS seluruh negara, kehadiran dalam perhimpunan aman itu amat penting jika mereka benar-benar ahli Pemuda PAS dan mahu meneruskan perjuangan dalam Islam.
"Buktikan yang kita cintakan keadilan serta keamanan," tegasnya.
Menurut beliau, jika sami-sami Buddha di Burma (Myanmar) sanggup berdemonstrasi di jalan raya untuk menuntut keadilan tidak ada sebab bagi Pemuda PAS tidak hadir dalam perhimpunan aman itu.
Beliau mengingatkan Pemuda seluruh negara supaya berani dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan halangan dan tidak perlu gentar amaran atau ugutan daripada pihak polis.
Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan seluruh Pemuda PAS supaya tidak melakukan sebarang provokasi dan mematuhi segala arahan daripada pihak pimpinan. - lanh
www.harakahdaily.net

Sunday, October 21, 2007

Hapus Yuran - Bajet 2008 ternyata menipu rakyat

Malang sungguh bagi semua ibu bapa yang mempunyai anak sedang belajar di sekolah rendah dan menengah ditipu kerajaan Malaysia melalui Bajet 2008 yang memansuhkan yuran persekolahan mulai sesi pengajian Januari depan.
Media cetak dan eletronik pengampu menggambarkan penghapusan yuran persekolah itu suatu hadiah kepada rakyat, media menemuramah ibu bapa pelajar dan menyiarkan komen positif terhadap pengahapusan yuran pesekolahan itu.
Ada yang mangatakan langkah kerajaan menghapuskan yuran sekolah adalah suatu tindakan tepat dari kerajaan yang mementingkan rakyat. Tidak kurang juga ada yang memuji Perdana Menteri setinggi langit kerana membentangkan bajet pemurah itu.
Namun realitinya bukanlah sebagaimana yang dihebohkan, nilai yuran yang dimansuhkan itu hanya RM4.50 (sekolah rendah) dan RM9.00 (sekolah menengah) setahun atau hanya 0.38 dan 0.75 sen sebulan!.
Apakah nilai itu dikatakan dapat membantu meringankan beban rakyat?
Hanya orang tidak siuman sahaja yang menilai 0.38/0.75 sen sebulan sebagai tinggi yang boleh memberi nilai tambahan kepada. Itu lah digambarkan oleh media serta individu yang diwawancara. Sunggu bengong mereka itu!.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Noh Omar menasihatkan ibu bapa supaya jangan terkeliru (dengan penghapusan yuran persekolahan seperti disebutkan didalam Baget 2008).
Noh dilaporakan berkata ibu bapa hendaklah memahami hanya yuran persekolahan (bernilai 0.38 dan 0.75 sebulan) itu sahaja yang dimansuhkan manakala bayaran lain tetap tidak berubah.
Ertinya ibu bapa tetap akan membayar ratusan ringgit untuk pelbagai yuran sekolah pada hari pertama persekolahan anak mereka nanti
Itu lah realitinya, beban ibu bapa tetap tidak berhapus dengan pengumuman Bajet 2008 yang menghapuskan yuran sekolah!.
Penjelasan Noh itu adalah jawapan tepat terhadap terhadap rakyat bahawa kerajaan sebenarnya telah menipu dan mengelirukan rakyat dengan mewar-war pemansuhan yuran perseolahan didalam baget 2008 lalu sedangkan hakikat sebenarnya kerajaan tidak bersedia untuk menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya.
Malaysia adalah negara pengeluar minyak tetapi kenaikan harga minyak di pasaran dunia tidak memberi manfaat kepada rakyat kerana pada ketika harga minyak dunia naik mendadak kerajaan pula mengurangkan subsidi minyak kepada rakyat menyebabkan harga minyak dipasaran tempatan naik dan rakyat menanggung kos hidup sara yang lebih tinggi manakala syarikat minyak negara (Petronas) mengaut untung berlipat kali ganda.
Keuntungan petronas kira-kira RM70 billion pada tahun lalu tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Rakyat akan menerima manfaat daripada kebaikan harga minyak jika sebahagian kecil daripada keuntungan petronas itu disalur sebagai subsidi pelajaran yang dapat memberi pendidikan percuma kepada generasi muda.
Bagaimanapun kerajaan lebih suka membelanja keuntungan hasil minyak anugerah Tuhan itu untuk kegiatan kurang bermanfaat seperti menganjur perlumbaan kereta Formula 1 dan membina bangunan tertinggi di dunia (satu waktu dulu). menara berkembar Petronas.
Jelas sekali pemberian Allah melalui penemuan minyak dan gas diperut bumi negara ini tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat.
Bebeza dengan sesetengah negara Arab yang kaya dengan minyak dimana rakyatnya mendapat pendidikan percuma dari peringkat rendah hinggalah keperingkat tertinggi. Ia bertujuan untuk melahirkan warga negara berpendidikan dan berilmu.
Jika pemimpin bercakap soal modal insan ini lah masanya untuk menggunakan kekayaan minyak dengan memberi pendidikan percuma kepada rakyat sekurang-kurangnya setakat sekolah rendah dan menengah.
Kerajaan boleh melakukanya jika mahu jangan biarkan hasil minyak anugerah Allah itu diguna untuk membiayai perkara tidak perlu atau untuk memenuhi nafsu pemimpin yang berkuasa.
Ingat Minyak adalah anugerah Allah, bila-bila masa Allah boleh menarik balik nikmatnya sebagaimana berlaku kepada Iraq! - mr

Thursday, October 11, 2007

Salam Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin
Daripada
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang

Monday, October 8, 2007

Muslimat Kluang Memberi Sumbangan Kepada Fakir Miskin


Pada 6 Oktober 2007 Muslimat PAS Kawasan Kluang dengan kerjasama Muslimat PAS Negeri Johor telah mengedarkan sumbangan sempena hari raya aidilfitri kepada golongan fakir miskin di sekitar Kluang. Turut serta dalam program kali ini beberapa orang ahli jawatankuasa PAS Kawasan Kluang dan Dewan Pemuda Kawasan Kluang.

Berbuka Puasa Bersama Keluarga Miskin di Sungai Balang Muar

Ketua Pemuda PAS Kluang berkesempatan berbuka puasa bersama keluarga Makcik Selamah Binti Ahmad pada 29 September 2007. Makcik Selamah hidup bersama anak, menantu dan 3 orang cucu di Sungai Balang, Muar. Mereka termasuk dalam senarai keluarga miskin yang mendapat simpati PAS Kawasan Muar. Mereka tinggal di sebuah rumah PPRT. Rumah tersebut tidak mempunyai bilik. Sayu hati melihatkan masih ada keluarga yang hidup susah dalam keadaan kerajaan Malaysia kerap membazirkan wang rakyat sewenang- wenangnya. Saya mendoakan keluarga Makcik Selamah dapat menyambut hari raya tahun ini dengan gembira dan diberikan rezeki yang banyak lagi berkat dari Allah.
Anuar Kamil
Ketua DPP Kluang

Beberapa amalan menghidupkan malam, pagi raya Aidilfitri

Tazkirah

Dalam beberapa hari lagi Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah รข€˜Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.

Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.

Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.


Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Hari Raya

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya.

Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.


Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:
"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."


Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.
Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."


Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Aktiviti pagi raya

1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.
2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.
3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.
4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.
5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.
6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.
Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.) - mks.