Wednesday, July 23, 2008

Ada niat lain Umno bersungguh mahu bermuzakarah - Nik Aziz

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS menyamakan tawaran Umno hendak bermuzakarah dengan kisah Masjid Dhirar yang pernah dibina bagi tujuan memecahbelahkan Islam.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masjid itu dibina bukan untuk penyatuan tetapi untuk menyemai benih perpecahan.
"Kisah Masjid Dhirar bukan dongengan orang terdahulu, tetapi ada di dalam al-Quran sebagaimana dalam Surah At-Taubah di mana terdapat empat niat jahat maksud pembinaan masjid itu iaitu untuk menimbulkan kemudharatan kepada orang-orang mukmin.
"Untuk kekafiran, memecah belah antara orang-orang mukmin dan untuk menunggu kedatangan oang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, suasana itu boleh kita kiaskan bagi membaca niat pemimpin Umno yang sangat beria-ia untuk bermuzakarah dengan pemimpin PAS.
Menurutnya Umno bercakap soal menjaga Islam dan Melayu ini seolah-olah hanya mereka sahaja yang boleh menjaga orang Melayu.
"Dia fikir dia seorangkah yang mengerti dan bertanggungjawab menjaga Islam. Dia sudah lama memegang kerajaan. Boleh jadi, Umno sudah sampai ke peringkat tidak percaya orang lain juga boleh menjaga Islam dan Melayu.
"Sedangkan PAS pun faham dan reti juga dan mungkin lebih reti daripada mereka dalam perkara ini. Jangan Umno fikir ini Islam dan Melayu hak monopoli, hak eksklusif yang menjadi pajakan Umno sahaja," katanya.
Bagaimanapun katanya, kalau perlu juga kepada muzakarah bolehlah difikirkan selepas pilihan raya umum ke-13.
Baru-baru ini media melaporkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa Umno dan PAS sudah mengadakan tiga kali pertemuan membincangkan perkara berkaitan agama dan perpaduan Melayu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa bimbang PAS akan dianggap sebagai khianat kepada rakan-rakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
"Saya cukup kesal. Selaku Mursyidul Am, saya berhak menegur. Ini berasaskan prinsip Wal-Ashr. Dalam semangat demokrasi pun, ini menandakan bahawa masih suburnya proses konsultasi, berbeza atau bersamaan pendapat dalam PAS.
"Pada saya, muzakarah boleh, tetapi atas dasar peribadi dan tidak atas nama parti,"ujarnya.
Kata beliau apa jaminan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak berpecah dengan langkah terlalu ghairah untuk bermuzakarah sesetengah pemimpin
Ini katanya boleh disifatkan sebagai anti perpaduan dan anti kestabilan.
"Contoh telah pun ada pada tahun 1970-an di mana PAS berpecah tiga iaitu Berjasa, Hamim dan Bebas Bersatu. Bagaimanapun, jika diteruskan juga dan berlaku perpecahan.
"Saya tidak mahu memikul tanggungjawab langkah yang saya tidak restu,"kata beliau. - mj/mks. _

Muzakarah: Dewan Pemuda PAS Pusat perjelas pendirian

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menegaskan menjadi dasar umum dan pendekatan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan apa jua bentuk perbicangan, dialog mahupun muzakarah dengan mana-mana pihak sebagai membuktikan PAS adalah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan demi kepentingan negara, rakyat dan khususnya perjuangan Islam dalam negara ini.
Menurut Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini, ketetapan dan ketegasan tersebut dibuat setelah mengadakan perbincangan selama tiga jam setengah dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pas Pusat malam tadi.
Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusuf; Exco Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Kamaruzzaman Mohamad.
Jelas Salahuddin, di samping sikap keterbukaan itu, Dewan Pemuda PAS menentang sebarang usaha sekiranya muzakarah yang hendak diadakan menjurus dan memfokuskan kepada agenda kerjasama politik ataupun perkongsian kuasa di antara PAS dan Umno.
Tambahnya, melalui mesyuarat tersebut, Dewan Pemuda PAS juga membuat ketetapan komited kepada Pakatan Rakyat yang sedang terjalin.
Salahuddin menegaskan, Pakatan Rakyat merupakan satu-satunya wadah untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.
Katanya, Dewan Pemuda PAS juga akan menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memecah belah serta menimbulkan fitnah dan hasutan terhadap Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu katanya, sekiranya berlaku muzakarah antara PAS dan Umno, ia tidak akan berakhir dengan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat serta menyertai atau berkongsi kuasa dengan Barisan Nasional.
"Oleh itu rakyat seharusnya faham bahawa muzakarah yang digembar gemburkan jika menjurus kepada perbincangan perkongsian kuasa serta agenda untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, menjurus kepada kerjasama politik ia merupakan perkara yang tidak benar sama sekali.
"Rakyat seharusnya yakin dengan kepimpinan PAS serta perjuangan PAS hari ini. Kita sebenarnya sedang menerima mandat rakyat selepas Pilihan raya lalu dan telah membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri. Ini merupakan amanah dan tangggung jawab yang kita tunaikan dengan penuh kesedaran. Kita mempunyai prinsip dan pegangan yang cukup kuat tanpa ada pemikiran lain untuk lari atau mengkhianati daripada Pakatan Rakyat ,"tegasnya.
Dalam pada itu, Salahuddin menegaskan sekiranya terdapat sebarang permasalahan dalam Pakatan Rakyat, perkara tersebut akan diselesaikan dengan baik. - mks._

Tuesday, July 8, 2008

Wadah protes wajar di jalan raya - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Hrkh) - Protes atau bantahan terhadap sesuatu isu mesti dilakukan dengan kaedah yang betul demi menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan.

Presiden PAS Dato' Seri Guru Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pendekatan menggunakan stadium bagi melahirkan protes itu tidak memberi kesan yang sepatutnya dan tidak sampai mesej.

Malah protes yang dibuat seperti 'karnival' dan mengadakan hiburan sampai ke pagi tidak mencapai matlamat yang jelas kepada rakyat dan tidak sewajarnya dibuat.

"Perlu ke pada jalan raya dan perlu menyampaikan nota bantahan kepada pemimpin, itu yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas 'Himpunan Protes Sejuta Rakyat' yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya Ahad lalu yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

"Walaupun lima minit atau 10 minit, kalau protes dilakukan lima minit pun berkesan, apa yang penting ialah kita dapat menyamapaikan mesej itu kepada kerajaan dan rakyat

"Kalau suara hanya tertutup dalam stadium , hanya itu sajalah.....sekadar melepaskan geram bukan dari erti kata yang sebenar," katanya ketika ditemui Harakah dalam temubual eksklusif berkaitan isu-siu semasa di pejabat pembangkang di Parlimen pagi tadi.

"Kita perlu menghantar wakil bertemu....bukanlah tak boleh....bertemu menteri yang bertanggungjawab itu protes yang betul...kerajaan mesti terbuka dalam masalah ini," katanya.

Beliau turut merujuk kepada situasi yang berlaku di London semasa lawatannya ke negara itu baru-baru ini di mana kerajaan tersebut membenarkan demonstrasi.

Polis pula mengawal daripada berlaku apa-apa yang tidak diingini, ujar Presiden PAS.

"Di Amerika, begitu juga, polis tidak melakukan sebarang provokasi, polis membiarkan peserta demonstrasi menyampaikan apa yang mahu dinyatakan dan kerajaan mereka mendengar," tegasnya lagi.

Beliau turut memberikan pandangan berhubung isu-isu terkini membabitkan Pakatan Rakyat, kes Liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kemelut politik semasa.- wann/mks.

(Ikuti kupasan lanjut wawancara penuh bersama Presiden PAS dalam Harakah keluaran 9 Julai ini)

Thursday, July 3, 2008

JOM PROTES !!!








Protes 2008



Padang Timur, Petaling Jaya



6 Julai 08